BERTUDUNG ITU SATU PILIHAN?

Teringat saya zaman persekolahan. Seorang kenalan perempuan, enggan mengenakan tudung. Bila saya tanya dari hati ke hati, jawapannya begini: “Mizul, jika mahu bertudung, maka saya mahu ia datang dari hati saya sendiri. Ikhlas. Tidak kerana disuruh orang. Jika saya menyarungnya di kepala; tetapi kerana terpaksa, apalah maknanya.”

Saya terpana dengan jawapan itu. Tulus dan mulus bunyinya. Jika ditinjau dari aspek sufi, memang tinggi tahap kesufiannya. Benarkah? Mungkin benar, jika perbuatan itu bukan berkaitan dengan arahan yang wajibnya sudah qatie’ atau putus di dalam al-Quran. Misalnya, jika ditanya kenapa kamu tidak mahu menggunakan kereta mewah sedangkan kamu mampu, maka jawapannya kerana saya tidak mahu menunjuk-nunjuk, maka itu baharulah tahap sufi nombor satu. Guna kereta mewah tak sama dengan tutup aurat.

Dalam hal ini, saya dapati umat Islam ramai yang terkeliru dengan kaedah, ‘berubah dari hati, ikhlas kerana Allah, bukan kerana manusia.’ Persoalan wajib yang sudah jelas hukumnya, tidak memerlukan ‘ikhlas dari hati kerana Allah taala dan bukan kerana manusia.’ Solat misalnya, puasa misalnya, zakat misalnya, tidak mengira kita ikhlas dalam melakukannya atau tidak, kita disuruh manusia mengerjakannya dan kita terpaksa atau didenda jika enggan menunaikannya, maka kita masih perlu melakukannya. Ia adalah wajib. Menolak yang wajib berdosa. Di sisi Islam, orang yang menolak kewajipan dengan sengaja, bukan sahaja berdosa, bahkan boleh dikenakan hukuman di bawah peruntukan takzir.

Menutup kepala yakni menudung aurat daripada dilihat lelaki yang ajnabi (harus dinikahi), bukanlah pilihan. Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan, menutupi) jilbabnya (pakaiannya) ke seluruh tubuh mereka.” (al-Ahzab : 59)

Begitu juga di dalam sebuah hadis yang cukup popular mengenai batas aurat seorang wanita Muslim, ialah tatkala Nabi Muhammad SAW menegur Asma’ binti Abu Bakar yang mengenakan pakaian yang nipis, dengan sabda baginda: “Wahai Asma’, apabila seseorang perempuan itu telah sampai umur balighnya, maka tidak boleh diperlihatkan seluruh anggota tubuhnya melainkan ini dan ini, (dengan nabi menunjukkan ke arah muka dan kedua tapak tangannya).” (Hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani).

Maka, jelas sekali, tiada kelonggaran bagi wanita muslim membuat pilihan dalam mengenakan pakaian yang menutup aurat. Bertudung adalah satu kewajipan. Membukanya adalah satu dosa. Mendedahkannya dengan sengaja, adalah mencabar hukum-hakam Allah SWT. Jika sudah tidak takut dengan dosa, apakah kedudukan manusia itu di sisi Tuhan-Nya? Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.