MEMUPUK IMAN DAN TAQWA

Bayangkan. Sebuah institusi Islam. Tugasnya menegakkan rukun Islam. Mengajak orang patuh perintah Allah. Bantu-membantu orang susah. Namun, sayangnya, para warganya kurang cakna dengan iman dan Islam. Tidak berjiwa Islam. Kurang sensitiviti terhadap agama. Melakukan kerja hanya kerana ia adalah kerja. Maka, bagaimanakah caranya ‘memupuk iman dan taqwa?’

Inilah dillema bagi orang Islam yang bekerja di institusi Islam. Mereka bertudung, justeru itu adalah imej Islam. Mereka berkopiah, justeru itu adalah citra pakaian Islam. Namun, tudung dan kopiah, hanyalah semata-mata lahiriah. Jika bertudung, berkopiah; tetapi bukan dari hati yang ikhlas tunduk dan taatkan Allah, ia tidak lebih sekadar memenuhi perintah.

Amat malang jika segala tindak tanduk atau perbuatan itu bukan kerana Allah. Benar, mereka menyiapkan kerja, hanya kerana itu adalah perintah. Ya, perintah sang ketua. Mereka membuat laporan, benar ada peningkatan, tetapi demi mengelakkan tindakan atau demi ‘mencari makan’. Tidak mahu nanti melepas bonus tahunan dan dinafikan segala kenaikan. Maka, kerja dilangsai sekadar mengejar nikmat duniawi, bukan mencari syurga abadi.

Mungkin apa yang ditulis ini, nada dan rentaknya terlalu ideal. Masakan ada manusia yang begitu tuntas ikhlasnya? Ah! Siapa tahu, ada atau tidak, ia adalah niat yang terselit di celahan hati. Apa yang perlu, kita berusaha mengikhlaskan hati bekerja kerana Allah SWT semata-mata. Selain itu, memastikan Islam menjadi hebat di mata dunia, asbab tangan-tangan kita. Alangkah indah jika kita sedemikian rupa!

Maka, jagalah akhlak kita, jagalah penampilan kita, jagalah niat kita, jagalah segala-galanya. Bekerja bukan sekadar menanti gaji; tetapi reda Allah yang pasti. Bekerjalah demi Islam, memastikan Islam dijulang; bukan sekadar pangkat yang dikenang. Bekerja dengan roh Islam, tidak sama dengan roh wang!

Benih Iman

Hanya mereka yang pernah terlibat dalam jemaah Islam yang mampu merasai nikmat ini. Berhempas-pulas menyiapkan program, menjalankan misi dakwah, diherdik dimarah, dimaki dan diludah. Semua ini, adalah resam dan garam pendakwah. Mereka tidak mendapat laba dunia; selain mengharapkan reda-Nya.

Oleh itu, jika mahu memupuk benih iman, mesti dengan latihan. Ia bukan boleh dibuat-buat; tetapi mesti dengan keazaman yang kuat. Jika organisasi longgar segala sudut; harus dicari puncanya dan dibuat koreksi apa yang patut. Apakah sudah disediakan tapak semaian iman yang baik; ataupun semuanya caca marba dan tunggang terbalik?

Iman ibarat pokok. Sesebuah organisasi Islam, maka ia ibarat ladang semaian bagi benih ‘pokok iman’. Maka, tapak semaian itu perlu terjaga, tanahnya subur berbaja, disirami air, ditebas semak-samun dan dihalau segala serangga. Biar segala benih tumbuh subur menjalar ke para-para.

Apabila tapak semaian iman pun kelam-kabut, maka bayangkanlah benih yang akan tumbuh. Pasti sukar mengenal antara benih yang menyulur ke para-para; jika tapak semaian penuh lalang menggila. Bila ditebas, bukan lalang yang dicantas; habis segala benih dilibas. Itulah sekilas perumpaan yang mampu diberikan.

Masih banyak yang boleh diperkatakan tentang isu ini. Memupuk iman dan taqwa, bukanlah kerja sehari dua. Tidak juga kerja ala kadar bagai melepaskan dehem di tangga. Jika kita mengenal sosok mulia Bilal bin Rabah, pasti hati kita akan tergugah. Demi iman Bilal sanggup menempuh duka. Demi Islam Bilal mengorbankan kesenangannya. Demi taqwa, Bilal sudi mempertaruhkan nyawanya!

Wallahua’lam!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.