Kenapa INDONESIA?

Saya memang sudah jatuh cinta dengan Indonesia. Tapi, kepada negaranya; bukan kepada orangnya sahaja. Saya tahu, ada orang suka mengusik, ada apa-apakah di sana yang menyebabkan saya begitu suka mengunjungi Indonesia. Namun, biarlah apa orang nak kata. Saya tahu apa yang saya mahu. Saya tahu apa yang istimewanya Indonesia. Saya tahu kenapa Indonesia?

Jujurnya, ketika mengunjungi Indonesia, saya merasa seperti ‘kembali’ ke kampung halaman. Memanglah, saya lahir dan membesar di Malaysia. Namun, saya dapat tahu leluhur saya memang berasal dari Indonesia. Asalnya dari Pulau Sulawesi atau lebih tepatnya orang Bugis. Maknanya, asal-usul saya adalah dari Indonesia.

Rupa-rupanya, di Malaysia boleh dikatakan orang Melayu hampir 70 peratus adalah dari keturunan orang Indonesia. Tidak kiralah sama ada Minang atau Jawa, Bugis atau Sunda, Acheh atau Rawa, semuanya dari sana. Moyangda kita dahulu datang ke Malaya atau Tanah Melayu, buat membina kehidupan baharu. Lalu, mereka kekal di sini memugar tanah dan harapan. Akhirnya, kita pun menjadi rakyat Malaysia.

Kebetulan lagi, saya bekerja di Selangor. Di pejabat, ramai rakan sekerja berketurunan Tanah Jawa. Ramai dari kalangan mereka, sehingga kini masih sering pulang ke Jawa menziarahi sanak-saudara. Ia membuatkan saya merasa dekat dengan Indonesia. Bayangkan, seorang kawan saya, mempunyai sepupu yang ramai di Pacitan, Jawa Timur. Ah…alangkah enaknya dia.

Ini baharu satu alasan. Masih banyak penyebab yang menjadikan saya dekat dengan Indonesia. Apa yang pasti, saya akan terus mengunjungi Indonesia. Saya sukakan rasa Teh Botol Sosro, nasgor (nasi goreng) kambing, es cendol durian, jus apokat, bakmi dan banyak lagi…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.