DEBAT ZAKAT PENDAPATAN: HALAL ATAU HARAM?

Apa akan jadi jika pandangan ‘zakat pendapatan’ haram diterimapakai? Saya pernah atau sebenarnya, acap kali juga menerima persoalan mengenai status zakat pendapatan. Soalnya, adakah zakat pendapatan ini benar-benar wujud dalam ajaran agama Islam?

Ada yang menyatakan, zakat pendapatan tidak wajib kerana wujud sebahagian ulama fikah yang menyatakan ia tidak wajib. Ada orang yang belajar lebih dalam mengenai fiqh, akan menyatakan bahawa ulama mazhab misalnya Imam as-Syafie sendiri tidak mewajibkan zakat pendapatan. Malah, pelbagai hujah dikemukakan demi menyatakan bahawa zakat pendapatan hanyalah hukum rekaan para ulama semata-mata.

Sekilas, terdetik bahkan terpalu di hati saya, hebat dan canggih betul pemikiran mereka ini. Masakan Umar al-Khattab yang menggagaskan kaedah an-nama’ (pengembangan harta) dalam bab zakat boleh dianggap ‘jahil’. Bagaimana pula dengan Umar bin Abdul Aziz r.a yang mengenakan zakat ke atas harta pendapatan tenteranya pada penghujung tahun? Adakah khalifah yang dianggap ar-rasyid yang kelima ini juga ‘jahil’ memfatwakan hukum agama?

Malah ada yang lebih syadid (keras) apabila memfatwakan HARAM ke atas zakat pendapatan. Golongan yang keras ini menyandarkan pandangan mereka dengan sebuah dalil di dalam al-Quran, iaitu surah al-Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu memakan harta dalam kalangan kamu dengan cara yang salah.” Bagi mereka, oleh kerana tiada nas yang jelas mengenai zakat pendapatan, maka adalah salah bagi sesiapa pun untuk mengutipnya.

Maka, pandangan ini jika diterima pakai dalam bab ibadah, maka habislah semua orang yang menunaikan zakat pendapatan. Berdosalah pembayar zakat (muzakki), berdosalah pengurus zakat (amil) dan berdosalah penerima zakat (asnaf) kerana memakan harta HARAM. Bahkan adalah amat besar dosanya kepada semua fuqaha yang memfatwakan wajibnya zakat pendapatan. Semuanya berdosa, kerana mengelolakan urusan haram, iaitu zakat pendapatan. Berdosalah Syeikh Yusuf al-Qaradawi yang tua renta masih tegar memperjuangkan agama. Berdosa jugalah para mufti di Malaysia kerana mengiyakan ijtihad ulama tua ini.

Asas Halal dan Haram

Hakikatnya, apabila kita mahu mendiskusikan halal dan haram, sesuatu yang paling penting adalah memahami usul atau asas dalam halal dan haram dalam sesuatu tindakan. Fuqaha menyatakan, asasnya adalah berbeza bagi perlakuan berkaitan ibadah dan muamalah. Kedua-duanya ada ada kaedahnya yang tersendiri.

Dalam hal ibadah, konsep dan polisi ibadah adalah: ‘Setiap ibadah dalam Islam adalah HARAM, kecuali ada DALIL atau nas yang memerintahkannya atau membolehkannya.’ Maknanya, sesiapa juga tidak boleh memandai-mandai mereka cipta sesuatu ibadah tanpa adanya dalil. Jika ibadah dibuat tanpa dalil, itulah bid’ah dalam Islam. Misalnya, menambah satu rukun sahaja dalam solat, menjadi 14 rukun. Katakanlah, sebelum berdiri betul mesti terlebih dahulu menjerit seperti tarzan, dan ia menjadi rukun serta syarat sahnya solat, maka itulah bid’ah yang sesat.

Asas ibadah ini adalah berlawanan dengan konsep dan dasar muamalah, kerana dalam muamalah, konsepnya ialah: ‘Hukum asal muamalah adalah harus (mubah atau HALAL), sehinggalah datangnya satu dalil atau nas yang menegahnya (mengharamkannya).’ Misalnya, hukum makan daging adalah harus; namun berubah menjadi haram jika makanan itu adalah dinaskan haram, misalnya memakan cicak atau daging khinzir. Ada dalil jelas dalam al-Quran melarang memakan khinzir, maka haramlah ia.

Maka, berbalik kita kepada hal ehwal zakat pendapatan ini, seandainya kita merujuk kepada konsep hukum asal ibadah, pastilah pandangan bahawa zakat pendapatan itu haram adalah salah sama sekali. Mana mungkin ulama besar memandai-mandai mereka cipta hukum baharu dalam zakat, jika tiada dalil yang menyandarinya.

Banyak dalil di dalam al-Quran dan as-sunnah mahu pun ijmak dan qiyas yang menyokong zakat pendapatan. Jika mereka merujuk kepada al-Baqarah ayat 188, apa kata kita mengajak mereka untuk merujuk kepada al-Baqarah ayat 267 pula. Jika mereka menyatakan Imam Syafie tidak mewajibkan zakat pendapatan, kenapa tidak dilihat kepada pandangan Umar II sebagai perbandingan? Bahkan sebuah hadis sahih daripada Abu Musa r.a yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, terang-terangan menyeru umat Islam agar bekerja dan dengannya mereka mampu memberikan sedekah.

Bukankah kalimah sedekah mempunyai dwi-konotasi (dua makna)? Ada sedekah sunat dan ada sedekah wajib. Bukankah firman Allah SWT lewat at-Taubah ayat 60 dan 103, kedua-duanya menggunakan frasa ‘sedekah’ tetapi membawa makna ‘zakat.’ Apakah hadis di atas tidak membawa makna sedekah yang bermakna zakat?

Maka, pada saya tertolaklah pandangan ini yang mendekati ‘jalur sesat dan melampau’ ini.

Zakat pendapatan hokum rekaan dan faedah ijtihad?

Apabila saya disogokkan dengan isu ini, saya kaget. Hukum rekaan bermaksud, ia direka-reka. Maka, siapakah yang begitu berani mereka-reka ibadah ini. Bukan ibadah biasa, ia adalah ibadah khusus yang disandarkan kepada zakat, ibadah rukun dalam Islam. Menolak hokum zakat, mengakibatkan cacatnya Islam dan boleh menjadi murtad. Maka, amat besar kesannya jika menokok ibadah yang salah kepada zakat.

Namun begitu, janganlah kita mudah keliru dan menjadikan orang lain haru-biru. Zakat pendapatan ini memang direka, tetapi bukan rekaan biasa oleh orang biasa, dalam istilah fiqh ia disebutkan sebagai ijtihad. Ijtihad sesuatu yang penting dalam Islam. Tanpa ijtihad, saya boleh katakan, akan ‘kaku dan bekulah’ umat Islam. Asbab adanya ijtihad, maka Islam dilihat agama yang fleksibel bahkan sentiasa cocok dengan perkembangan zaman.

Jika dikatakan rekaan atau ijtihad ini salah, maka banyak benda yang tidak berlaku pada zaman nabi namun menjadi realiti hari ini. Dalam hal ibadah misalnya, nabi mengenakan zakat ke atas harta dan ia mesti dilangsaikan dengan harta. Jika tamar, tamarlah zakatnya. Jika haiwan ternak, maka haiwan ternaklah zakatnya. Jika emas, maka emaslah zakatnya. Hari ini, semuanya sudah ditunaikan dengan wang. Inilah ijtihad. Ia bukan direka oleh ulama hari ini, tetapi sudah diterima pakai oleh Uthman bin ‘Affan sahabat nabi. Adakah Uthman layak dianggap ‘pembid’ah’ agama?

Mari kita lihat, dalam bab solat misalnya. Nabi SAW amat tidak menggalakkan kaum wanita menghadiri masjid untuk solat berjamaah. Namun, hari ini kaum wanita sendiri gemar menghadiri masjid, sama ada untuk solat berjemaah dan mendengar ceramah dan kuliah. Maka, adakah kita boleh mengklasifikasikan budaya muslimah menghadiri masjid sebagai bid’ah?

Bab haji pula misalnya, dalam dalil qatie nabi telah menggesa agar umat Islam mengunjungi Kota Mekah waima terpaksa menunggang unta yang kurus. Dalilnya ialah: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Haj: 27)

Hari ini, berapa juta orang yang mendatangi Baitullah di Kota Mekah dengan tidak lagi berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus? Berapa juta orang menggunakan kapal terbang, kereta bahkan kapal laut untuk ke tanah suci. Adakah mereka semua ini menyalahi firman Ilahi?

Maka, ijtihad membolehkan umat Islam menikmati segala kemudahan yang disediakan di sekeliling mereka. Naiklah apa sahaja, yang penting sampai ke Mekah. Tunailah zakat walau dengan wang, asalkan ia harta yang cukup syarat zakatnya. Solatlah berjamaah di masjid, kerana kaum wanita bias ditemani muhramnya dan suasana hari ini juga aman sentosa. Inilah faedahnya ijtihad buat kita.

Maka, apakah wajar kita mengatakan zakat pendapatan ini hokum rekaan? Jika benar sekali pun ia rekaan (ijtihad), adakah ia bercanggah dengan hukum Tuhan? Wallahua’lam.

3 Replies to “DEBAT ZAKAT PENDAPATAN: HALAL ATAU HARAM?”

Hazzaini Bin Ishak 2 July 2013 at 5:48 pm

Assalamu’alaikum,
Pernahkah Rasulullah SAW membayar zakat dari hasil pendapatan (bukan simpanan) gembala kambing atau upah dari hasil pekerjaannya? Ada riwayat sahabat nabi yang berbuat demikian sezaman dengan Rasulullah?
Saya dahulukan dengan terima kasih atas pencerahan. Persoalan ini amat menghantui saya.

Admin 18 July 2013 at 2:27 pm

salam, saya sarankan sdr search lagi pelbagai isu zakat pendapatan yg telah pun diulas oleh ramai orang termasuk saya sebelum ini…termasuk melalui buku2 saya… dapatkan di sini http://www.hamizul.com/?page_id=3535

abd rani bin abd aziz 14 April 2017 at 8:17 am

saya telah menginfaqkan sebahagian wang pencen sy untuk jalan Allah. setelah itu baru saya tersedar bahawa saya perlu untuk membayar zakat wang imbuhan pencen itu. bolehkah saya meniatkan wang infaq itu sebagai bayaran zakat

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.