PEMIMPIN, BICARA BIAR BERILMU

Selalunya manusia akan membuat keputusan berdasarkan akal pemikiran. Akal tidaklah sehebat mana, sehinggalah datangnya ilmu yang memimpin akal menuju kejayaan. Akal yang terpimpin ilmu bakal membawa kesejahteraan. Sebaliknya, jika akal dipimpin nafsu, akan memporak-perandakan keadaan.

Sebab itu, carilah ilmu selagi termampu. Tiada batas usia bagi mencari ilmu. Tiada juga batas pangkat bagi memperolehi ilmu. Semakin dicari ilmu, semakin banyak yang kita tahu dalam lautan luas ilmu yang tidak bertepi. Semakin dalam ilmu digali; semakin banyak yang kita rasa tidak mengerti. Kerana, orang yang berilmu, akan merasa betapa sedikit ilmu yang ada pada diri. Baharulah dia akan terus mencari.

Namun, ‘kedangkalan’ ilmu yang dimiliki oleh orang yang berilmu; terpamer pada akhlak dan laku. Tutur bicaranya tersusun hikmah. Akhlaknya tidak mencacat amanah. Peribadinya model tauladan ummah. Dia bersikap, sejajar dengan sikap seorang berilmu. Orang ramai mengenalinya, lantaran ilmu yang terpancar daripada riak wajah dan gelagatnya; tanpa perlu dia menabik dada mengaku berilmu.

Natijah akhir daripada ilmu ini ialah, dia menjadi orang yang rendah diri, sama ada kepada sesama manusia apatah lagi kepada Allah SWT. Dia tidak merasa sentiasa ‘betul’, jika orang di sekelilingnya menasihati kesalahannya. Apatah lagi jika yang menegurnya adalah orang-orang yang jelas keilmuannya. Bahkan dia akan mengucapkan terima kasih, kerana kesalahannya ditegur dan diperbetul.

Apabila menjawat jawatan penting, sebagai pemimpin dalam sebuah negeri atau negara misalnya, maka kita amat menyanjung tinggi pemimpin yang berilmu dan beramal dengan ilmunya. Mereka ini, meletakkan ilmu yang sebenar sebagai neraca amal, bukan ilmu yang difikirkan oleh akalnya sebagai benar untuk menilai amalnya. Ilmu yang sebenar pula, hanya datangnya daripada kitabullah, sunnatullah dan kitab para ulama muktabar.

Janganlah menjadi terlalu naif menafikan kejahilan dengan hujah kononnya berilmu. Ini kerana, semakin kuat dia berhujah, hakikatnya semakin ketara dangkalnya ilmu. Akhirnya, akan terbuka segala keaiban diri, terserlah segala kelemahan dan mengundang malu yang tiada kesudahan. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.