Jejaka ini Mas Fuadi!

Nota: Saya bersama A. Fuadi, di PBAKL 2011 (syukran Muthanna atas fotonya!)

Orangnya kecil! Begitulah keterujaan pertama terungkai kala bertemu mata dengan novelis tersohor Indonesia, A. Fuadi. Inilah penulis yang novelnya, Negeri 5 Menara (yang telah saya baca dan ulas di sini) telah dicetak hampir 10 kali ulang dengan edaran 170 ribu naskhah! Inilah dia penulis yang telah menarik minat saya untuk menitip anak ke Pondok Pesantren Gontor di Jawa Timur. Usianya, baharu mencecah 39 tahun! Nah, keterujaan kedua terjawab…masih muda orangnya dan hampir sebaya saya.

A. Fuadi hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2011) semalam, dalam rangka memenuhi undangan PTS yang menterjemahkan (saya lebih suka guna istilah ‘menukar versi’, kerana bagi saya bahasa Melayu itu adalah untuk semua orang di Malaysia dan Indonesia) karya-karya beliau, yang terbaharu Ranah 3 Warna. Buku pertama beliau, saya beli kala kunjungan ke Jakarta pertengahan 2010. Masih berbekas di lipatan memori saya, malam Sabtu itu di Wisma Makara, Depok saya saksikan beliau muncul dalam rancangan Kick Andy (bersama Andy F. Noya), kemudiannya saya ke Gramedia dan mendapatkan senaskhah novelnya di sana. Hasilnya, amat mengujakan!

Dalam posting ini, izinkan saya berkongsi apa yang saya nikmati semalam. Mas Fuadi menghuraikan, bagaimanakah beliau mampu berkarya sebaik itu. Mudahnya, ada resepi tertentu yang beliau kongsikan. Antaranya, tentukan niat, untuk apa kita menulis? Kedua, apa yang mahu ditulis? Ketiga, ini kunci katanya…iaitu konsisten!

Niat amat penting, kerana dengan niat itulah menjadi energi berterusan sehingga siap apa yang kita ingin hasilkan. Apa yang ditulis pula, menjadi lebih enak jika kita memang ‘master’ dalam bidangnya. Jika mahu menulis di luar bidang, mestilah rajin membuat kajian lebih dahulu. Konsisten itu kunci katanya, kerana ia menjanjikan keputusan akhir sesebuah penulisan. Beliau sendiri mendisiplinkan dirinya menulis pada setiap hari.

“Bayangkan anda menulis setiap hari. Sekurang-kurang anda menulis short messages…(SMS). Jika anda menulis sehari satu halaman, maka setahun anda sudah menulis 365 halaman. Itu sudah setebal buku saya itu (sambil menunding jarinya ke arah buku-buku beliau di atas meja di sebelahnya).

“Katakanlah separuh halaman, maka masih berjumlah sekitar 200 halaman. Andaikanlah anda menulis hanya 1/3 halaman, ia masih berjumlah lebih dari seratus halaman dan masih bisa diterbitkan sebagai sebuah buku. Saya yakin, anda di sini pasti menulis lebih banyak dari satu halaman. Cuba bayangkan…anda menulis SMS, di Tweeter, Facebook…”

Demikianlah Mas Andi, bicaranya berapi dan tidak tampak sedikit pun tanda-tanda keletihan pada riak wajahnya. Saya sendiri sempat mengajukan tiga soalan, yang kesemuanya ditanggapi secara saksama dan memuaskan hati oleh beliau.

“Syukran mas…” Ujar saya setelah sempat berfoto dan meminta novel saya diautograf.

“Afwan! Dahulu sekolah di Pesantren ya?” Soalnya kembali.

“Iya Mas…tapi sebentar-sebentar sahaja…” Akur saya.

Petang itu, saya pulang dengan hati berbunga disirami pelbagai tips berguna, buah tangan dari seorang kenalan baharu di alam nyata (sebelum ini hanya menerusi novelnya) bernama A. Fuadi!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.