Bicara Zakat: Asas ansuran tunai zakat

Soalan: Setakat yang saya tahu, kebanyakan pusat zakat menggalakkan umat Islam menunaikan zakat gaji mereka menerusi Skim Potongan Gaji. Soalan saya, selain daripada zakat pendapatan ini, adakah seseorang itu juga diharuskan membayar zakat-zakat lain secara ansuran, seperti qada’ zakat, zakat saham, zakat emas dan sebagainya. Harap penjelasan.

Jawapan: Terima kasih atas pertanyaan. Amalan memberikan kelonggaran kepada umat Islam menunaikan zakat pendapatan mereka menerusi potongan gaji, merupakan suatu inovasi dalam kaedah berzakat. Di Malaysia, kaedah ini dipersetujui oleh majlis fatwa bahkan di Selangor misalnya, kakitangan kerajaan digesa menunaikan zakat pendapatan mereka secara terus melalui potongan gaji. Hal ini ditegaskan melalui Pekeliling Wajib Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2003.

Hakikatnya, dalam kalangan ulama fikah sendiri wujud perbincangan mengenai haul zakat. Umumnya, ada dua pendapat. Pertama, ulama sepakat bahawa syarat wajib haul adalah terpakai ke atas jenis-jenis harta zakat yang berasaskan matawang, perniagaan dan zakat ternakan.

Sebuah hadis dengan mafhumnya: “Tiada zakat ke atas sesuatu harta kekayaan sehingga berlalu satu tahun,” (hadis riwayat Daruqutni, Baihaqi dan Ibn Mas’ud dengan khilaf statusnya sebagai hadis daif dan sahih dalam kalangan ulama hadis) boleh dijadikan dalil kepada ketetapan ini.

Pandangan kedua, para fuqaha khilaf sama ada syarat wajib haul masih terpakai ke atas harta yang bersifat diperolehi, misalnya pertanian, harta yang ditemui di perut bumi  (kunuz dan rikaz), hasil galian dan mutakhir ini harta perolehan seperti gaji dan lain-lain pendapatan.

Di dalam kitab Hukum Zakat, Dr Yusuf al-Qaradawy menisbahkan semua zakat yang tidak tertakluk kepada haul ini adalah sebagai ‘zakat pendapatan’, justeru ia mampu untuk berkembang sendiri dan mencapai kemuncak hasilnya pada tempoh tertentu dan pada saat itulah kewajipan zakatnya datang (hal. 161 dan 162).

Berbalik kepada isu pokok, apakah wujud keizinan daripada syarak kepada kaedah menunaikan zakat secara ansuran ini dan bolehkah ia diaplikasikan kepada jenis-jenis zakat harta yang lain selain zakat pendapatan?

Dalam isu ini, ada asas atau justifikasi yang boleh diperhatikan. Kalimah ‘ansuran’ itu sebenarnya diqiaskan kepada sebuah hadis yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Saiyidina Ali k.wjh telah meriwayatkan bahawa Abbas bin Abdul Mutallib r.a telah meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk mengeluarkan zakatnya sebelum tiba masanya (haul). Maka, Rasulullah SAW telah memberi izin kepada Abbas untuk berbuat demikian. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.

Kebenaran kepada Abbas untuk mengeluarkan zakatnya lebih awal dari haulnya, menjadi dalil bahawa zakat boleh dikeluarkan sebelum tiba masanya. Ia juga diistilahkan sebagai mendahului haul zakat. Dalam kalangan ulama fikah, misalnya pada sisi Hambali mengizinkan seseorang itu mendahului haulnya sehingga dua tahun lebih awal.

Maka, apabila seseorang itu membuat bayaran zakat menerusi potongan gaji sedangkan dia sepatutnya menunggu pada hujung haulnya, maka sebenarnya dia telah melakukan persis seperti mana yang dilakukan oleh Abbas. Dia telah mendahului haul zakatnya dan di sisi syarak, ia diharuskan.

Maka, kaedah yang sama boleh dilakukan ke atas semua harta zakat yang lain. Misalnya, haul zakat emas, wang simpanan dan perniagaannya adalah pada bulan Disember; namun dia telah memasukkan amaunnya ke dalam potongan bulanannya dan dia dikira sudah mendahului haul zakatnya. Hal seperti ini diperbolehkan ulama fikah.

Hakikatnya, membuat potongan seperti ini antara lain adalah demi kebaikan seseorang itu juga. Ia meringankan bebanan seseorang dan meraikan keadaan seseorang. Ini kerana, boleh jadi bebannya pada hujung haul yang mungkin bertembung dengan pelbagai keperluan lain seperti belanja persekolahan dan perayaan mungkin mengakibatkan seseorang itu ‘lari’ dari kewajipan yang mengakibatkan dosa dan hilang keberkatannya.

Maka, mendahului haulnya adalah lebih terpuji di sisi Islam dengan syarat tidak pula menjadikan pemberian itu kezaliman kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Walaubagaimanapun, adalah dinasihatkan juga agar mengira semula zakat dengan tepat pada hujung haul bagi zakat yang ditunaikan, agar ia tepat dan mencukupi sebagaimana yang telah difardhukan. Wallahua’lam.

Sebarang persoalan boleh diemailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.