Bangga dengan DOSA?

BUKAN BEGITU…

Bagaimana ya, harus saya mulakan posting ini? Kisahnya mudah, mata saya terpandang sebuah tajuk berita di akhbar: ‘Nikah bulan lepas sudah hamil empat bulan.’ Ya, ini kisah benar melibatkan seorang artis muslim di negara jiran. Dengan bangganya si artis itu menyatakan (kira-kiranya): “Allah dah beri saya hamil, maka saya kena beri tahu kisah kehamilan ini kepada orang ramai agar tidak timbul kisah yang bukan-bukan!”

Kesimpulan awal yang boleh saya keluarkan, nampak sangat si artis mulim yang khabarnya berstatus ‘hajjah’ ini tidak berasa sekelumit pun dosa atas keterlanjurannya. Ya, menikah sebulan hamil empat bulan. Ini bukan kisah TV ‘Back to the future’. Ini kisah nyata. Mana ada orang boleh menikah sebulan sudah hamil empat bulan!

Inilah padahnya apabila Islam yang terkandung di dalamnya WHAT IS DO AND WHAT IS DON’T tidak lagi menjadi perhatian. Dosa yang menjadi DON’T sudah tidak diendahkan. Akhirnya, terhasillah pelbagai perlakuan-perlakuan DON’T yang terang-terangan mengakibatkan DOSA.

Berzina adalah satu perkara DON’T yang sangat besar. Ia membawa kesan DOSA yang juga besar. Orang berdosa padahnya neraka. Itu sahaja. Allah sudah nyatakan: “Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula,” (al-Zalzalah: 8).

Amat pelik, apabila zina menjadi sesuatu yang WAJIB dikhabarkan (walaupun berlapik dengan nama ALLAH) demi menutup kesalahfahaman masyarakat akibat kehamilan ‘MAHA EXPRESS’ itu. Allah sudah menjawab kesintingan ini dengan firman-Nya: “(Bukan demikian), yang benar: barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosa nya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya,” (al-Baqarah: 81)

WAKTU KECIL-KECIL…

Teringat saya, dahulu sewaktu kecil-kecil kita sering ditakutkan oleh ibu ayah dengan dosa. Mak saya misalnya pernah berkata: “Jangan berbohong, nanti di akhirat lidah akan dipotong!” Mak orang lain pula mungkin pernah berkata: “Jangan mencuri, dipotong tangan nanti!”

Kalimah-kalimah ‘jangan’ seperti ini, walaupun zahirnya nampak seperti ayat negatif (dan tidak digalakkan oleh motivator hari ini diucapkan) kerana tidak memotivasikan; namun meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwa dan pembangunan rohaniah anak-anak.

Bagi saya, dari usia kanak-kanak sehingga ke usia remaja bahkan kini sudah menjadi dewasa, saya masih ingat pesanan emak, walaupun jaraknya sudah puluhan tahun lamanya. Jangan mencuri, jangan berbohong dan banyak perkara ‘jangan’ yang perlu dijauhi bagaikan kalimah ‘keramat’ yang terkejap kukuh dalam hati dan menjadi ‘tangkal’ mujarab meninggalkan pelbagai amalan keji.

Inilah faedahnya, apabila dosa dan neraka menjadi sebutan lazim dalam pendidikan anak-anak. Bahkan di sebalik itu, kita tahu jika tidak boleh berbohong, maka berkata benar adalah perbuatan mulia. Perbuatan mulia, pastilah membawa natijah pahala. Pahala, natijahnya syurga.

Sewaktu kecil juga, saya sering cuba membayang-bayangkan indahnya syurga. Allah SWT sering menceritakan, betapa syurga itu ada aliran sungai di dalamnya. Saya membayang-bayangkan, betapa indahnya sungai di dalam syurga.

Akhirnya, para ustaz dan ustazah memberitahu, apa yang ada di dalam syurga sekelumit pun tidak mampu dibayangkan oleh minda. Syurga terlalu nikmat. Allah menyediakan syurga, khusus bagi para hamba yang taat. Hamba yang taat, artinya hamba yang tidak berbuat maksiat.

Kita jadi terbuai dengan dendangan pahala dan syurga ; dosa dan neraka. Kita dibuai bahawa hidup perlu takut kepada dosa. Takutnya kita kepada dosa, adalah seperti takutnya kita kala melihat gunung yang bergoyang, runtuh dan mahu menimpa kepala kita. Maka kita akan lari, cuba menyelamatkan diri.

Menekuri kisah ‘si artis’ ini…maka teringat saya akan sebuah nukilan daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosanya seolah-olah dia di dasar gunung (dan dia) takut gunung itu jatuh atasnya, dan sesungguhnya orang (yang) jahat melihat dosanya seperti nyamuk jatuh pada hidungnya, lalu ia berkata padanya dengan cara begini (menghindarkan nyamuk dengan tangannya), kemudian nyamuk itu terbang”, (Hadis riwayat at-Termizi di dalam sunannya)

Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.