Beza kita dan Indonesia

Emak Ingin Naik Haji... sebuah filem Indonesia berbasis cerpen karya penulis muslimah yang mencabar emosi dan penuh kritikan sosial terhadap jurang sosio-eko-politik dan budaya di Indonesia, ah...di Malaysia pun apa kurangnya!

Minggu lepas, atas urusan pejabat saya dan 14 kakitangan LZS telah ke Utara. Perjalanan jauh dan pastinya mengambil masa. Demi memastikan kami tidak kebosanan dalam perjalanan, saya membawa bekal. Senaskhah novel ‘Dari Jendela Hauzah’ dan juga beberapa DVD filem Indonesia – Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 (KCB), Emak Ingin Naik Haji dan Sang Pemimpi.

Tepat seperti diduga. Kehadiran filem-filem Indonesia ini sangat memberi erti. Saya putarkan seadanya. Dalam hati, bimbang juga jika ada kalangan teman yang tidak suka. Maklumlah, ini filem seberang. Tapi, mengenangkan betapa kuatnya pengaruh sinetron di Malaysia, saya yakin filem ini pasti ada peminatnya.


Buat permulaannya, saya menayangkan KCB 1 pada malam perjalanan ke Kedah. Agak kurang mendapat sambutan, kecuali beberapa orang yang tekun mengikutinya. Maklumlah, kegelapan malam dan kesejukan pendingin hawa memang mengasyikkan mata untuk lena. Lagi pun, jalan cerita KCB 1 memerlukan penelitian. Andai kita sudah pernah menguliti novelnya, ya, tidak sukar menekuni jalan ceritanya. Jika tidak, kita perlu tekun pula memahami apa yang ditayangkan di layar berserta mendengar bicara pelakonnya.

Dipendekkan cerita, esoknya saya memainkan pula KCB 2. Nah! Kali ini siang hari dan kami lebih teruja mengikutinya. Apatah lagi KCB 2 memaparkan kisah di Indonesia yang tidak begitu berbelit seperti KCB 1 yang berlatarkan Mesir. Saya dapati keheningan menyergap suasana. Khasnya kala filem menayangkan insiden kematian Bu’e Malikatun setelah ditabrak lori di jalanan.

Saya sendiri merasakan getarannya. Saya mencuri pandang, ada yang tidak berkerdip pandangan. Saya tidak pasti, adakah genangan air membanjiri jendela mata mereka.

Hari berikutnya, saya putarkan pula Emak Ingin Naik Haji. Nah! Sekali lagi emosi kami terbuai sama. Filem yang diadaptasi dari senaskhah cerpen ini amat kuat auranya. Sebuah filem yang mengangkat tema kemiskinan, cita-cita seorang ibu untuk ke Baitullah dan narasi sebuah perjuangan hidup di Indonesia. Kala Zein menyembahkan dahinya ke tanah setelah nombor cabutan bertuahnya mengena (hadiahnya dapat naik haji ke Mekah yang bakal diberikan kepada ibunya), maka getaran klimaks cerita kembali bergetar.

Apatah lagi saat Zein dikejar kerana cuba mencuri dan begitu juga kala Emak meluahkan kata-kata: “Hati emak sudah lama ada di sana (di Mekah)…” dengan latar pemandangan di pelabuhan perikanan dalam keremangan senja, amat mengesankan.

Sehabis tayangan, rakan-rakan saya berbicara sesama sendiri. Betapa filem Indonesia versi Islami seperti ini amat kuat aura dan pengaruhnya. Dalam KCB misalnya, jelas para pelakonnya amat menjaga batas kesusilaan Islam. Kata mereka, bilakah agaknya Malaysia mampu menghasilkan filem-filem Islami yang benar-benar Islami sehebat ini?

Saya puas hati. Hajat saya, biarlah filem terbaik ini dikongsi dan dinikmati bersama. Jujurnya, saya sendiri makin hilang selera dengan filem-filem Malaysia. Hanya ada beberapa kerat sahaja lagi pengarah atau aktor yang mampu mengikat saya untuk menonton filem Malaysia. Jika tiadalah mereka ini, saya fikir mungkin saya sudah malas menonton filem-filem Malaysia.

Kenapa ya, pembikin filem kita di Malaysia masih jauh standardnya berbanding mereka di Indonesia? Hal ini turut berlaku dalam era perbukuan dan kepengarangan. Saya makin ralit mencicipi novel-novel buah tangan penulis Indonesia ketimbang penulis Malaysia. Isu yang diangkat mereka berat tetapi merngasyikkan.

Novel Sang Pencerah misalnya, mengangkat isu reformasi pemikiran dan krisis perpecahan umat yang berlaku di Indonesia lewat 1920-an, sehingga tertubuhnya Muhammadiyyah – sebuah perkumpulan yang memperjuangankan agar Islam difahamai selari sunnah dan bukannya Islam yang ditokok tambah – Muhammadiyyah ini telah diasaskan oleh Kiyai Hj Muhammad Dahlan.

Novelnya berat; tetapi memikat. Di Malaysia, saya akui ada beberapa penulis sedemikian. Saya ikuti penulisan mereka dan saya harap mereka akan terus berjuang mempertahankan legasi kepengarangan mereka dengan tegar juga.

Saya fikir, Indonesia kelak bakal menempa kemajuan yang lebih mapan dan cemerlang dalam industri buku dan filem. Mereka berusaha, serius dan cekatan menanggulanginya. Sedang kita, masih berbasa-basi, tidak ada kesungguhan dan sering juga, hangatnya hanya separuh jalan cuma. Wallahua’lam.

2 Replies to “Beza kita dan Indonesia”

ain habib 12 April 2011 at 12:14 pm

Assalamualaikum…

bila saya baca bait2 ayat ulasan En Mizul seumpama saya sdg menonton citer tuh dlm bas pulak..mmg best sgt movie tuh..ada rasa keinsafan dan sentiasa blh muhasabah diri.

Ust Mizul 12 April 2011 at 2:53 pm

Ain, itu belum lagi nonton filem Laskar Pelangi…lagi tersentak naluri dan minda dibuatnya…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.