Menzahirkan kekayaan demi kebaikan

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Selalunya kita sering diingatkan, agar tidak menzahirkan kebaikan dan kekayaan. Ini kerana, kita selalunya kalah dengan nafsu yang sering membisikkan ke arah keburukan. Nafsu inilah, yang ditiup oleh para Iblis yang bersembunyi di sebalik jubah kebaikan, Akibatnya, harta diberi sedang hati mengharapkan pujian. Jika pujian tidak didapati, hati berkata-kata bernada penyesalan.

Maka, kita sering disogok agar memberi tanpa menghebah-hebahkannya. Bak kata bait lagu Herman Tino: “Tangan kanan memberi; sorokkan tangan kiri. Derma bukan tontonan; lakukan dalam sepi, sematkanlah keikhlasan…”

Adakah benar pesanan ini? Benarkah bahawa dalam memberi sedekah, derma, zakat atau apa sahaja perkara bersifat kebaikan, maka sembunyikanlah. Biar kita dan hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Secara umumnya memang begitu, memberi dalam sepi lebih baik demi mengelakkan hilangnya pahala kerana sifat riyak, sombong, takbur dan sebagainya.

Bahkan dalam isu ini, Nabi Muhammad SAW juga sering mengingatkan kita agar tidak bersifat congkak (sila baca sebagai bongkak atau sombong dan angkuh, bukannya sekadar sebuah permainan) dalam urusan memberikan harta. Ini kerana, orang yang memberikan hartanya pada jalan Allah tetapi mengiringinya dengan kecongkakan (kebongkakan) adalah dimurkai Allah SWT.

Berfirman Allah SWT yang mafhum-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riyak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah ia (batu itu) bersih (tidak bertanah).” (al-Baqarah, 2: 264)

Inilah kesannya jika memberi harta namun beriringan dengan sifat mazmumah. Bagi Islam, hati dan perasaan si penerima adalah jauh lebih utama untuk dipertahankan; berbanding memberi dengan rasa benci yang mencetuskan permusuhan.

Walau bagaimanapun, menzahirkan kekayaan untuk memberikan kebaikan kepada orang tidaklah selamanya ditegah. Dalam hal ini, para ulamak telah pun mendiskusinya. Apabila niat dan matlamat akhir daripada perbuatan itu berbetulan dengan kehendak agama, maka tidak salah sebenarnya memberi harta dalam keadaan menunjukkan kepada manusia.

Kita wajar memahami bahawa, dalam amal perbuatan itu ada yang bersifat sunat dan ada yang wajib. Apabila ia wajib, maka sama ada kita menyembunyikannya atau menzahirkannya, maka hukumnya sudah begitu dan ia tetap wajib dilaksanakan. Misalnya solat lima waktu, sama ada kita ikhlas melakukannya, atau kerana terpaksa, sama ada dizahirkan atau disembunyikan, ia masih tetap wajib dilakukan.

Maka, dalam hal ini solat berjamaah di masjid misalnya, tetap menjadi kewajipan kepada ummah. Ia adalah amalan zahir. Melaksanakannya secara terang-terangan, bakal menjadi tauladan dan dakwah kepada manusia lain. Ia bahkan menjadi syiar keagungan Islam kepada non-muslim.

Demikianlah halnya dalam memberikan harta. Zakat itu wajib, memberikannya secara terang-terangan diharapkan mampu menjentik naluri manusia kaya lain agar turut sama memberikan hartanya. Bahkan lebih baik jika dihebahkan, misalnya natijah memberikan zakat itu telah menyuburkan kekayaan si pemberi. Hidupnya bertambah berkat dan diberikan pelbagai kemudahan oleh Allah SWT.

Mudah-mudahan, dengan menghebahkan kebaikan yang bersifat fardu seperti ini, ia menjadi medan dakwah kepada orang lain. Maknanya, tidaklah semua tindakan menzahirkan kebaikan itu sesuatu yang salah. Asalkan kita menjaga niat, dan merealisasikan tindakan seiring dengan kehendak Tuhan, ia masih diizinkan. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.