Timbangan si kaya

Nota: Disiar MIDI

Si kaya di dunia, hartanya banyak. Gedung besar dengan aneka isinya, mungkin miliknya. Apa kehendaknya, mereka bisa mendapatkannya. Ceruk dunia mampu dilewati. Pakaian termahal dengan segala perhiasannya, mampu mereka sarungkan ke badan. Kenderaan termewah mampu mereka naiki.

Zahirnya, kekayaan memang menjadikan manusia mampu bahkan leluasa menikmati hidupnya dengan penuh nikmat. Direguk semahunya, selagi terdaya selagi terlarat.

Sebab itulah, pepatah orang tua-tua ada menyatakan, jangan menjadi seorang yang tamak haloba. Ibarat anjing dengan bayang-bayang. Perasaan haloba selalunya merugikan. Ia tidak membawa manusia ke mana-mana, kecuali apa yang dimiliki akan hancur binasa. Kelak diri yang merana.

Bagi seorang Islam, kita beriman dengan al-mizan. Ia adalah timbangan Allah SWT di akhirat. Gunanya mizan itu, buat menimbang-tara akan amal perbuatan manusia di dunia. Bagi orang-orang kaya, makin banyaklah yang akan ditimbang dan dihisab. Ini kerana, setiap unit hartanya adalah amanah. Semuanya perlu diaudit di sisi Allah.

“Daripada Abi Barzah al-Aslami, r.a, daripada Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?’’ (Riwayat al-Tirmizi)

Si kaya perlu insaf, harta dan segala kemewahan adalah titipan Tuhan buat mereka mengawalnya. Samalah seperti seorang penjawat awam yang dilantik menjadi Ketua Pengarah atau seorang Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat ternama. Jawatan yang disandang adalah amanah. Dalam bahasa lain, ia adalah beban. Ia bukan sekadar gah pada nama, tetapi diikuti dengan pelbagai tanggungjawab.

Jika di dunia ini pun, seseorang yang berjawatan tinggi sering didatangi pelbagai audit, disemak tugasnya sama ada mematuhi prosedur atau tidak, maka lebih-lebih lagilah audit di sisi Allah SWT. Sudah sepatutnya, selaku hamba Allah maka kita wajib mematuhi audit akhirat, justeru ia tidak ada lagi peluang kedua untuk memperbetulkannya jika kita diberikan teguran dan surat tunjuk sebab.

Mutakhir ini, manusia memang teruja menjadi kaya. Kuiz dan peraduan yang diadakan, hadiahnya bukan mainan. Biasanya bernilai ribuan bahkan ada mencecah ratusan ribu. Dahulu, ada kuiz yang menawarkan hadiahnya dalam nilaian juta. Wah! Jika ditakdirkan menang, seseorang itu bakal menjadi jutawan sekelip mata.

Maka, ramailah yang berebut-rebut mengambil bahagian dan peluang. Semuanya berangan-angan, menggenggam hadiah bernilai ribuan ringgit di tangan. Sudah tergambar apa yang bakal dibeli nanti. Padahal, hadiah itu semuanya belum pasti. Belum tentu pun mampu menangga ke pusingan terakhir, justeru ramai yang tersungkur di anak tangga pertama.

Namun, keghairahan untuk menjadi kaya sering menjerat manusia. Sekali fikir, memang tiada salahnya mencuba. Mungkin ada orang berkata, itu juga adalah satu cara mereka berusaha. Namun, jangan kerana teruja memasuki peraduan, apa yang ada di tangan habis tidak ketahuan.

Pernah berlaku, ada orang yang sanggup menggadaikan maruah dengan menggunakan wang zakat untuk menikam nombor ekor. Takdir Tuhan, mereka terjerat dan terperangkap. Bila ditanya, alasan diberi konon mereka hanya berusaha. Membeli nombor dengan harapan akan mengena. Kelak, mereka kata akan menjadi kaya-raya dan mampu bersedekah pula.

Walhal, wang yang dilabur belum tentu mengena. Boleh jadi, ia bukan melabur tetapi melebur. Wang habis tanpa hasil. Pahala belum tentu datang, sedang dosa sudah ditatang. Inilah padahnya jika terlalu ghairah mencipta kekayaan. Bukan sekadar meminggirkan akal waras dengan menolak perjudian, bahkan sanggup menggendong dosa tanpa alasan.

Sebagai manusia, akal ini perlu dipandu Tuhan. Manfaatkan al-Quran, as-Sunnah dan nasihat para ulamak dalam mengatur kehidupan. Tiada guna jika menang sekali pun, jika ia adalah wang haram. Ingatlah, al-mizan sentiasa menanti kita di akhirat. Di sana, setiap sen akan ditanya, dari mana datangnya dan ke mana pula ia dihabiskan? Wallahua’lam.

3 Replies to “Timbangan si kaya”

IqbalHD 12 March 2011 at 2:08 pm

abi….
kan balong dh ckp jgn guna bahasa indonesia…….

IqbalHD 12 March 2011 at 2:09 pm

tapi best jgklah….

Ust Mizul 14 March 2011 at 10:02 am

Along, Bahasa Indonesia itu asalnya Bahasa Melayu. Dalam perlembagaan Indoensia, abi ada terjumpa yang menyatakan, bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan Indonesia adalah Bahasa Melayu. Jadinya, tak salah nak guna sedikit-sedikit bahasa mereka, kerana hakikatnya ia juga adalah akar bahasa Melayu yang kita guna sehari-hari…malah tulisan Jawi yang menjadi asas penulisan bahasa Melayu dulu adalah daripada kalimah “JAWA’ yang merujuk kepada Pulau Jawa…ini apa yang abi amatilah…banyakkanlah membaca, itu yang penting.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.