SM Salim

SM Salim, fotonya tergantung di Wisma Radio Angkasapuri, Kuala Lumpur. Kala saya ke sana, saya selalu menyaksikan deretan gantungan foto-foto lama di sepanjang dinding menyusur ke konti radio. Ada banyak lagi foto lain, iaitu penyiar awal dan ‘otai’ di Radio Malaysia.

Secara jujur, saya adalah peminat SM Salim. Suaranya lemak merdu dan beralun-alun. Lagunya memang mengasyikkan. Liriknya puitis amat. Sarat dengan santun nasihat. Antara lagu yang menjentik naluri insani saya ialah Tak Seindah Wajah, Kenang Daku Dalam Doamu termasuk juga lagu-lagu yang dirakam bersama artis moden seperti Amy Search, Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza.

Bagi orang muda, menghayati bait-bait lagu Tan Sri Datuk SM Salim mampu mencerahkan akal budi kita. Ia melambangkan keindahan dan santunnya Bahasa Melayu. Tidak keras melalak namun sarat nasihat. Misalnya, mari kita teliti bait lagu Tak Seindah Wajah…

“Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakunan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda”

Lagu ini amat mengasyikkan. Sebagai manusia pencinta seni, saya tidak mampu menyembunyikan kasmaran saya pada lagu ini.

Mutakhir ini, penyanyi generasi baru memang ghairah mempromosikan album mereka. Namun bagi saya, lagu dan nyanyian mereka gagal mendamaikan indera dan mententeramkan jiwa. Muziknya celaru, suaranya sumbang bahkan tenggelam tanpa arah tuju. Saya tidak fikir lagu sedemikian mampu mensejahterakan minda dan akal manusia.

Bagi saya juga, lagu-lagu Melayu jika disampaikan dengan cara yang tertib dan santun, dengan menitik beratkan elemen nasihat, tunjuk ajar, panduan hidup dan pantang-larang dalam pergaulan, adalah melambangkan jati diri Melayu yang sebenar.

Inilah kekuatan sebenar seniman Melayu, yang saki-bakinya masih bernafas, ya…bagai dalam lumpur. Saya khuatir, jika tiada orang yang perduli lagi dengan elemen seperti ini, maka lagu hanya sekadar bunyi bingit yang menyakitkan telinga dan hati, malah gagal menjadi alat penyubur jiwa khususnya menjadi manusia yang berfikiran sihat, sedar tentang keberadaan dirinya di dunia, yang sepatutnya menyuburkan kebaikan sesama manusia. Sekadar memetik pepatah Arab:

‘Khairunnas, anfa’uhum linnas’: Sebaik-baik manusia itu ialah, mereka yang menaburkan manfaat kepada manusia yang lain.

Wallahua’lam.

2 Replies to “SM Salim”

Tiger Adnan 2 March 2011 at 2:17 pm

Itulah kurniaan dari Allah kepada hambaNya. setiap manusia mempunyai kelebihan yang berbeza. macam ustaz, ada ilmu mengenai hal-hal agama, dengan cara blogging ini, ilmu dapat disampaikan kepada org ramai, maka ribuan org akan memperolehi ilmu secara percuma ini.

memang mudah untuk menyebarkan ilmu.. dengan cara moden dan padat serta efektif.

Ust Mizul 4 March 2011 at 3:15 pm

Salam tiger adnan, manfaatkanlah apa sahaja kelebihan kita untuk kebaikan sesama manusia…semoga nanti Allah swt membalas dengan kebaikan yang berlipat kali ganda, insya-Allah…

Ha, apa cerita nak panggil ceramah, jadi ke?

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.