Harta si beriman

Nota: Disediakan untuk MIDI

Orang yang beriman, tidak betah mengumpul harta tanpa tujuan. Harta bagi mereka adalah wasilah mencari keberkatan. Ia dimanfaatkan seoptimum mungkin ke jalan-jalan yang diyakini berpahala di sisi Allah. Akhirnya, harta menjadi bekalan akhirat. Hidup mereka di dunia sebagai orang kaya, kelak akan berkesinambungan hingga ke syurga – juga sebagai orang kaya. Alangkah bertuahnya harta di sisi orang beriman.

Namun, sering berlaku memberi kepunyaan diri kepada orang lain adalah ujian maha besar. Jauh lebih besar daripada memberikan kederat dan menumpahkan keringat. Kita tidak merasa kehilangan apa-apa walau tenaga sudah diperah membantu keperluan orang lain. Jika kita bertungkus-lumus menjayakan sebuah acara, paling dahsyat pun kita akan mendapat kepenatan dan ia akan hilang setelah berehat.

Berbanding dengan harta, jika kita memberikannya kepada orang lain – tidak kiralah sama ada namanya sedekah, derma mahu pun zakat – maka kita terpaksa mengagihkan sedikit harta itu dan melepaskan hak milik kita kepada orang lain. Jika di dalam poket kita ada RM100.00 dan kita memberikan RM50.00 kepada seseorang, maka bakinya hanya tinggal RM50.00. Terasa benar, wang kita sudah menyusut.

Maka, sebab itulah harta bukan mudah untuk dikongsi walau senang dicari. Atas dasar itu jugalah, maka Allah SWT berpesan kepada kita agar mematuhi etika dalam memberi. Berfirman Allah yang maksud-Nya: “Kamu sekalian tidak akan sampai kepada kebajikan yang sempurna sebelum kamu memberikan sebahagian harta yang kamu cintai,” (Ali Imran: 92)

Allah SWT menokok lagi, tidak sekadar memberikan yang paling disukai; tetapi juga mestilah: “Dermakanlah sebahagian daripada hartamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk untuk kamu sekalian dan janganlah kamu sekalian memilih yang buruk lalu kamu dermakan” (al-Baqarah: 267)

Allah memberi kepada kita atas daya usaha kita, tetapi Allah juga tidak mahu harta itu hanya membeku dalam simpanan kita sahaja. Adakalanya, kita adalah wasilah kepada orang lain dalam menikmati harta tersebut. Boleh jadi juga, orang lain yang menjadi wasilah sehingga kita mampu memiliki harta berkenaan. Bukankah ada orang pernah berkata, saya naik pangkat tahun ini, atas rezeki anak saya yang baharu lahir.

Teringat penulis kepada seorang ustaz yang pernah berpesan, andai datang seekor kucing ke rumah kita, maka jangan dimaki hamun, jangan ditendang dan disakiti. Kucing itu hanya mahukan saki-baki makanan kita, mungkin hanya beberapa ketul kepala ikan atau tulang-tulang ayam. Sedangkan, isi ikan dan ayam itu sudah pun kita baham dan menjadikan kita kekenyangan.

Kata beliau lagi, Allah SWT mahu memberikan kucing itu makan dengan kepala dan tulang ayam dengan bertandang ke rumah kita. Mungkin dengan asbab itulah, maka kita dapat makan ikan dan ayam. Maknanya, kita mungkin sedang menikmati rezeki seekor kucing, walaupun zahirnya seolah-olah kita yang memberikan kucing itu sebahagian daripada makanan kita.

Hal ini samalah seperti kita mahu makan kenduri, kita menuju ke sana dan dalam perjalanan kita singgah solat di sebuah masjid. Lalu ada orang yang meminta derma di masjid itu, yang memohon agar kita berderma untuk tabung pembinaan masjid dan sebagainya. Kita berderma dan asbab kita berderma itu, maka Allah SWT memberikan kita jalan keselamatan.

Di sini, hakikatnya sedari awal kita langsung tiada niat berderma; tetapi ada sebab tertentu menyebabkan kita berderma. Itulah caranya Allah SWT mahu kita berkongsi rezeki.

Hasilnya, kita memberi derma dan bersedekah tanpa duga. Bahkan tanpa disedari, sedekah itu juga menjadi pendinding daripada musibah yang sepatutnya melanda kita. Bukankah sedekah mampu mengelakkan bala, kata orang begitulah. Maka, kita terselamat daripada musibah dengan asbab berderma dan kita berderma tanpa dirancang asbab ada peminta derma dan semuanya berlaku atas perancangan Allah belaka.

Kesimpulannya, berkongsilah harta kerana harta di sisi orang yang beriman, adalah sesuatu yang sepatutnya menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat. Patuhi juga adab dan etika dalam memberi, agar ia benar-benar menepati kehendak nabi. Tidak rugi memberi dan berbahagi, bukan sahaja ia menokok nilai kemansuiaan dalam diri; bahkan menokok nilai simpanan tetap kita yang bakal kita petik labanya di akhirat sana. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.