Azam Baru: Rencanakan tabungan

Nota: Siaran MIDI

Biarlah sedikit tetapi berterusan. Dikit-berdikit akhirnya menjadi bukit. Mungkin itulah ajaran orang tua-tua yang patut kita pegang dalam usaha membuat tabungan. Jangan habis wang dibelanja, sisihkan sedikit untuk hari muka. Keadaan tidak selalunya baik, mungkin ada keperluan mendadak dan segalanya memerlukan biaya yang mendesak.

Atas dasar itulah, Nabi Muhammad SAW ada memberi pesan: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya,” (Riwayat al-Ibn an-Najjar)

Kini tahun baharu masehi 2011 masih terasa hangatnya. Masing-masing orang sibuk memasang azam. Suka benar kita bertanya kepada orang lain, apakah azam mereka untuk tahun ini. Namun, jarang yang bertanya, azam tahun lalu bagaimana hasilnya?

Walau apa pun, memasang azam tidak salah. Islam memang mengajar kita menjadi manusia yang punya azam dan cita-cita. Manusia tanpa cita-cita, ibarat pokok mati. Dahannya tiada hijau; sedang ranting dan batang meregeh menyembah bumi.

Maka, salah satu azam yang saya fikirkan elok untuk kita niatkan sedari awal tahun ini, ialah menabung sedikit daripada pendapatan kita. Ya, menabung tidak semestinya banyak. Menurut orang bijaksana dalam bidang kewangan, jika kita mampu menabung 10 peratus sahaja daripada pendapatan, itu sudah cukup lumayan.

Ibu bapa yang berpendapatan tetap, cubalah menyisihkan 10 peratus daripada pendapatan isi rumah sebagai simpanan tetap setiap bulan. Dapat dianggarkan, jika pendapatan sebuah isi rumah adalah RM6,000.00, maka RM600.00 adalah simpanan mereka. Makin besar pendapatan, makin besarlah simpanan.

Jika sebulan disimpan RM600.00, maka setahun sudah mencecah RM7,200.00. Dengan wang sebesar itu terkumpul saban tahun, banyak manfaatnya untuk seisi keluarga. Sama ada kita mahu terus melaburkannya ke pelbagai sektor yang menguntungkan, atau membelanjakannya pada jalan-jalan lain yang mendatangkan kebaikan kepada keluarga, terpulanglah.

Namun, bukan senang mengasingkan RM600.00 saban bulan. Atas dasar itulah, melakukannya sebagai komitmen bersama dalam sebuah keluarga adalah lebih baik. Pendapatan suami dan isteri disatukan, kemudiannya diagihkan kembali. Samalah seperti bajet sebuah negara atau negeri. Masing-masing ada peruntukannya – makanan, rumah, pendidikan dan termasuklah untuk tujuan simpanan dan pelaburan.

Kita juga patut mengamalkan tips perbelanjaan bijak seperti mana yang sering diwar-warkan di media. Misalnya, mengurangkan rutin makan di luar rumah dan bersiar-siar bersama keluarga di pusat membeli-belah. Tidak salah sekali-sekala membawa anak-anak keluar dan menjamah makanan restoran, tetapi jika sebelum ini saban minggu, kita kurangkan kepada dua minggu atau hanya sekali sebulan jika perlu.

Sementara itu, membawa anak-anak dan isteri bersiar-siar di pusat membeli-belah lebih merbahaya kepada aliran wang kita. Memang, rangsangan mata selalunya merangsang aliran belanja yang sukar dikawal. Apatah lagi mendengar rengek si anak yang mahukan mainan baharu, lebih cair jadinya. Lalu, mainan yang mahal terpaksa dibeli; sedang ia bukanlah keperluan yang dicari.

Hari ini, cabaran mengurus harta atau kewangan kian mencabar. Ini kerana, wang sudah berubah sifatnya daripada kertas kepada kad. Itulah kad kredit yang sering menjerat kita. Maka, kekanglah nafsu dan bijaklah berbelanja seisi keluarga.

Kesimpulannya, sama-samalah kita merencanakan tabungan di tahun 2011 ini. Mari kita tulis azam kita: ‘Tahun ini saya mesti memastikan family saya mempunyai RM7,200.00 simpanan pada hujung tahun.’ Jika kita berjaya, itu tandanya kita memang orang yang kuat azam dan istiqamah dengan azamnya. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.