Zahirkan kesyukuran

Nota: Dikirimkan ke MIDI

Manusia ini memang sukar menyatakan rasa hati. Adakalanya kita sudah diberikan rezeki, dibantu menjalani kehidupan yang lebih baik dan keluar daripada sesuatu belenggu masalah. Apa yang perlu kala itu hanyalah dua ungkapan pendek – terima kasih dan syukur alhamdulillah.

Namun, ramai yang enggan mengucapkannya. Hal ini dapat kita saksikan lewat filem dan cereka yang dimainkan di dalam TV atau wayang di negara kita. Jarang kita melihat mereka yang dikurniakan nikmat kehidupan mengucapkan hamdalah (alhamdulillah) secara langsung, ataupun mengucapkan ‘terima kasih ya Allah’ di atas segala limpahan rezeki yang diberi Allah.

Inilah fenomena yang perlu diperbetulkan. Sesungguhnya manusia perlu menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah. Ia adalah suatu latihan yang akhirnya akan mencetuskan suatu perasaan halus dalam batin kita, bahawa apa sahaja rezeki yang kita dapati adalah atas izin dan kurniaan Allah.

Allah SWT menyatakan: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah,” (al-Baqarah: 172)

Oleh itu, tugas kita ialah berusaha menjadi hamba yang bersyukur. Namun, bersyukur menurut ulamak, tidaklah dengan hanya menyatakan ‘saya bersyukur’ sahaja; tetapi mestilah dizahirkan dengan ketundukan diri kepada Allah SWT. Allah yang memberikan kita rezeki, maka logiknya, kita wajib menundukkan diri kepada-Nya.

Apabila ketundukan diri sudah berlaku dan diiringi dengan ucapan lidah atas syukur dan terima kasih kita kepada Allah, itulah kombinasi syukur yang terbaik. Ia adalah manifestasi kerendahan diri dan hati kita kepada Allah. Sekaligus mencampakkan sejauh mungkin rasa keegoan dan kesombongan diri.

Nabi berpesan: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah,” (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang menyedihkan, apabila hati dipenuhi rasa ketakjuban atas kehebatan diri sendiri. Merasakan bahawa apa yang dicapai adalah atas kepandaian, kebijaksanaan dan keilmuan yang ada. Lalu, enggan mengaku bahawa Tuhan sebenarnya yang telah memberikannya kepada kita.

Orang seperti ini, mereka bukan sahaja telah menafikan peranan Tuhan sebagai Maha Kuasa yang memberikan mereka rezeki dan nikmat; tetapi juga seolah-olah cuba mengangkat diri mereka yang kerdil setaraf Tuhan. Mungkin mereka menafikannya, tetapi sifat dan keangkuhan diri membuktikannya.

Dalam sejarah manusia, memang ada manusia yang mengakui dirinya hebat dan pada masa yang sama menafikan kekuasaan Allah yang Maha Hebat. Dia mendabik dada, bahawa harta kekayaan dan segala pencapaian yang dikuasainya, adalah atas kehebatan dan ilmu yang dimilikinya.

Dinyatakan lagi oleh Allah: “Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia (Qarun) tidak mengetahui, bahwasanya Allah sesungguhnya telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?” (al-Qasas: 78)

Allah telah memberikan kita satu pengajaran, bahawa semuanya itu salah. Qarun salah apabila menafikan kuasa Allah. Sebaliknya, Allah SWT itulah yang sebenarnya memberikan Qarun segala kehebatan di atas dunia ini. Qarun wajib bersyukur; bukan menjadi takbur. Qarun wajib menjadi lebih tunduk; bukan kian berkelaku buruk.

Itu kisah Qarun yang sudah menjadi lagenda dan patut benar disempadani. Namun, bimbang jika ia hanyalah sebuah kisah yang tersimpan di dalam al-Quran. Hingga akhirnya, manusia hari ini mengulangi kembali kisah itu berkali-kali lagi. Ini kerana, selalunya manusia itu memang sering menjadi pelupa dan ingkar.

Ingatlah: “Sungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,” (al-‘Aadiyat: 6)

Kesimpulannya, jadilah manusia yang bersyukur dan zahirkanlah kesyukuran itu. Tiada kerugian walau satu sen pun di sisi kita; melainkan akan bertambahnya kasih-sayang Allah SWT kepada kita. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.