Teringat kisah dulu-dulu

Setiap orang pasti ada kisah silam. Kisah itu, boleh jadi terlalu manis untuk disimpan di dalam peti memori atau boleh jadi terlalu pahit untuk diingati kembali. Walau apapun, ia telah terjadi. Ia sudah menjadi sejarah yang patut kita tauladani atau sempadani. Manusia sememangnya wajar mengambil iktibar daripada sejarah demi melakar masa hadapan yang cerah.

Saya teringat kisah silam, kala itu saya masih di bangku sekolah. Antara kelemahan saya, ialah mudah jatuh hati kepada gadis comel bertudung labuh. Era 1990-an boleh dianggap kemuncak kepada corak pemakaian tudung labuh ini. Sungguh pun saya tidak bersekolah agama; tetapi ada beberapa teman pelajar perempuan yang berjilbab labuh.

Semasa di universiti, saya selalu mengeluh, kenapalah saya mudah tersentuh dengan gadis berjilbab labuh. Apabila berjalan ke pasar malam, kebetulan terserempak dengan sepasang suami isteri yang isterinya berjilbab labuh, aduhai…terasa cemburunya di dalam dada. Alangkah indahnya, jika si lelaki itu adalah saya. Seorang sahabat saya lagi syadid, dia selalu mengidamkan gadis berpurdah di sisinya.

Semasa menghadiri Muktamar Tahunan PAS di KL, lagilah saya jadi tidak tentu arah dibuatnya. Menyaksikan para muslimat yang berjubah dan bertudung labuh, hati saya bagai ingin segera mencari teman yang sama seperti mereka. Alangkah amannya jika punya isteri yang berjubah dan berjilbab labuh.

Lalu, saya menetapkan kriteria bahawa calon pasangan saya mestilah seorang gadis yang bertudung litup. Alhamdulillah, Allah SWT mengizinkan dan akhirnya saya mempunyai isteri yang bertudung labuh.

Kini, masa kian berubah. Muslimat yang dulunya bertudung labuh sudah pun mempelbagaikan corak pemakaiannya. Termasuklah muslimat saya, yakni isteri saya…tudungnya sudah bercorak-corak. Saya boleh menerimanya dengan syarat ia mestilah labuh yakni berada di bawah paras dada. Lagi satu, saya mengizinkannya selagi mana ia tidak terlalu ranggi dan jangan dibuat fesyen yang bukan-bukan…alah, jika dah berbelit-belit sampai ke kepala dan dicucuk pin sampai ke telinga…saya kurang gemar.

Er…kenapa ya saya masukkan entri ini? Entahlah…sekadar terkenangkan kisah dan sejarah dulu-dulu agaknya.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.