Kuliah tafsir di internet – Siri 2

Bersambung lagi mengenai tafsir al-Quran. Sebelum itu, suka saya jelaskan bahawa apa yang saya tuliskan di sini hanyalah penerangan ringkas. Jika ada para pembaca yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ilmu tafsir al-Quran, maka eloklah mencari buku-buku yang sesuai yang terdapat banyak di pasaran.

Lagi satu, mungkin penerangan di sini tidaklah mengikut tajuk demi tajuk yang tersusun seperti mana yang terdapat di dalam buku. Saya lebih memfokuskan isinya agar kita sama-sama mendapat pengajaran dan ilmunya, insya-Allah.

Seperti mana yang telah saya nyatakan dahulu, di dalam pengajian tafsir ini, para ulama tafsir (mufassirin) telah membahagikan ia kepada kepada tiga kaedah pentafsiran. Iaitu:

1. Tafsir bil Ma’thur
2. Tafsir bil Ra’y
3. Tafsir bil isyari / sufi

Tafsir bil Ma’thur (TBM)

TBM juga dikenali sebagai Tafsir a-Riwayah. Ia merupakan kaedah pentafsiran al-Quran yang paling baik dan authentic dalam memahami dan mendalami kehendak al-Quran. Ini kerana, dalam pentafsiran TBM, ulama mufassirin hanya mengaplikasikan empat perkara berikut:

a) Tafsir al-Quran terhadap al-Quran
b) Tafsir al-hadis terhadap al-Quran
c) Tafsir sahabat terhadap al-Quran
d) Tafsir tabie’en terhadap al-Quran

Untuk memudahkan, saya merumuskan seperti berikut, TBM = QHST. Antara ulama tafsir yang tersohor menggunakan kaedah ini ialah Ibn Abbas, Jalaludin as-Suyuti, Ibn Kathir dan Ibn Habban.

Tafsir bil Ra’y

TBR adalah tafsir yang menggunakan kekuatan minda atau akal fikiran dalam mendalami al-Quran. Dalam bahasa lain, para ulama mufassirin menggunakan kekuatan ilmu dan akal mereka untuk memahami ayat-ayat al-Quran dan mengistinbat sesuatu hukum daripadanya. Ia juga adalah usaha ijtihad mereka dalam memahami sesuatu ayat al-Quran.

TBR ini mengaplikasikan lima perkara berikut dalam mentafsirkan al-Quran:

a) Menggunakan al-Quran mentafsir al-Quran
b) Menggunakan al-Hadis mentafsir al-Quran
c) Menggunakan pandangan sahabat dan tabie’en dalam mentafsir al-Quran
d) Menggunakan ilmu bahasa Arab bagi mentafsir al-Quran
e) Menggunakan ilmu al-Quran (ulumul Quran) bagi mentafsir al-Quran

Rumusan untuk TBR pula ialah QHSTBU. Walau bagaimanapun, ulama membahagikan TBR ini kepada dua:

a) TBR Mahmud – yakni yang terpuji tafsirannya
b) TBR Mazmum – yakni yang tercela tasfirannya

Insya-Allah, saya akan membahaskan lagi kenapa ada dua pentafsiran TBR yang berbeza. Namun begitu, antara ulama tafsir yang terkenal dalam TBR ialah ini ialah Ibn Jarir at-Tabari.

Tafsir bil Isyari

TBI atau juga dikenali tafsir sufi. Sesuai dengan namanya, TBI ini merupakan tafsiran oleh ulama tafsir beraliran sufi. Mereka berusaha menggali makna di sebalik makna zahir ayat-ayat al-Quran. Dalam bahasa lain, mereka meneliti makna yang lebih mendalam daripada apa yang telah ditafsirkan oleh ulama mufassirin biasa yang hanya bersifat ‘permukaan’ sahaja.

Ulama mufassirin berselisih pendapat dalam TBI ini. Ada yang mengharuskan dan ada yang menegahnya. Walau bagaimanapun, TBI diizinkan jika mufassir yang terlibat itu menepati syarat-syaratnya, iatu:

a) Tafsirnya tidak bertentangan dengan makna ayat yang zahir dan kenyataan umum al-Quran
b) Tafsirnya tidak bertentangan dengan akal dan syariat
c) Tafsirnya disokong oleh bukti atau dalil-dalil syariah
d) Tafsirnya tidak terlalu asing dengan tafsiran ulama muktabar yang lain
e) Tidak mendahulukan TBI; sebaliknya dahulukan TBM

Antara ulama tafsir TBI ini ialah, Muhammad bin Ali bin Muhammad al-Khatimi yang menghasilkan Tafsir Ibn al-Arabi dan al-Quran al-Azim oleh Abu Muhammad Sahl.

Insya-Allah, nanti kita akan meneliti lagi tentang perbahasan TBM, TBR dan TBI ini pada masa akan datang.

One thought on “Kuliah tafsir di internet – Siri 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>