Anak-anak pun kena memahami erti pengorbanan

Nota: Tulisan ini diminta oleh Utusan Jawi sempena raya haji

Musim haji kembali dan seiring itu, kita akan meraikan Hari Raya Aidiladha. Empat hari lamanya, umat Islam akan merayakannya dengan menyembelih korban.

Dalam sejarah, di samping Ibrahim a.s dan Siti Hajar, Ismail a.s adalah watak utama. Kisah mereka sebenarnya mempunyai pengaruh tertentu kepada kita. Ibrahim mewakili seorang ayah, Hajar seorang ibu dan Ismail, adalah anak. Dalam sejarah, dicatatkan Ismail kala itu usianya dalam lingkungan awal remaja.

Amat jarang kita mendengar, agar kisah pengorbanan ini bukan sahaja perlu dihayati oleh kalangan ibu dan bapa, malahan anak-anak juga. Masakan tidak, jika Ismail selaku anak kepada Ibrahim dan Hajar enggan berkorban dan merelakan dirinya menjadi korban, maka pastilah ibadat korban yang kini menjadi amalan sunnah tidak akan tercipta.

Namun, kita wajar menyelami hakikat pengorbanan Ibrahim sekeluarga dan mencernakannya dalam konteks semasa. Menilai kisah dan cerita daripada teksnya sahaja; tidaklah menambah apa-apa melainkan rasa keseronokan dan kekaguman kepada mereka sahaja.

Dalam konteks ini juga, mari kita fokus kepada Ismail. Di sebalik ketabahan Hajar, hakikatnya Ismail, adalah kanak-kanak yang seharusnya boleh diangkat sebagai ikon kepada anak-anak zaman kini.

Ismail boleh menjadi suri tauladan, bagaimana seorang anak itu harus berperanan dalam memupuk dan membina sebuah keluarga yang mencari keredaan Allah SWT. Sebuah keluarga yang mithali, sudah semestinya ia dihuni oleh sepasang ibu bapa yang mithali dan juga dikongsi dengan anak-anak yang juga mithali.

Mari kita perhatikan, adakah anak-anak zaman ini memahami erti pengorbanan. Tidak dinafikan, dalam keadaan tertentu, memang ada anak-anak yang sanggup berkerja mencari rezeki demi membantu keluarganya. Namun, apa yang dikesali ialah, ada juga segelintir anak-anak zaman moden ini yang mensesiakan masa dan enggan berusaha demi nasib keluarga. Mereka lebih suka melepak, menghabiskan waktu tanpa memikirkan masa hadapan diri dan keluarga.

Inilah fenomena yang perlu diteliti. Pengalaman penulis sendiri, pernah beberapa kali terserempak dengan anak-anak muda yang melepak tanpa hala tujuan di pusat membeli-belah. Lelaki dan perempuan bercampur-baur. Tiada matlamat jelas kenapa mereka duduk di situ. Laungan azan dan waktu solat tidak dihiraukan. Sebagai pertanyaan, apakah yang telah anak-anak ini lakukan seiring dengan mauduk perbincangan kita?

Dalam contoh lain juga, ada anak-anak yang sanggup mengabaikan ibu bapa. Pengalaman penulis selaku pegawai di Lembaga Zakat Selangor (LZS), ada kes di mana ibu bapa dibiarkan terlantar tanpa pembelaan. Bahkan ada yang tega menitipkan cucu-cucu manakala anak-anaknya ‘melarikan diri’ tanpa khabar berita. Si nenek itulah galang-gantinya membesarkan anak-anak kecil itu.

Atas dasar itulah, kita wajar menyuburkan kembali penghayatan pengorbanan yang telah diinspirasikan oleh Ismail ini. Berkorban, demi kebahagiaan keluarga. Berkorban demi kebaikan bersama. Berkorban demi mencari keredaan Allah SWT. Ia penting dan amat dianjurkan oleh agama.

Maka, sebagai ibu bapa, kita wajar kembali menggali makna di sebalik sejarah Ibrahim dan keluarganya ini. Bahawa peranan anak-anak adalah suatu kemestian. Tiada benda yang berlaku secara tiba-tiba jika tiadanya perancangan. Pepatah orang tua ada juga ada menyatakan: tangan bertepuk sebelah, bunyi jangan diharapkan. Maka, ajaklah anak-anak agar mereka menari dan menepuk di posisi yang sesuai, insya-Allah, hasilnya kelak akan dapat kita tuai.

Selamat menyambut hari raya korban daripada saya dan selamat meneruskan pengorbanan demi Islam yang mulia. Buat anak-anak, saya titipkan secebis nukilan yang penuh makna ini.

Ingatkah kita, pada masa usia kita setahun, ibu telah menyuapkan makanan dan memandikan kita. Lalu, cara kita mengucapkan terima kasih kepadanya dengan menangis sepanjang malam. Pada saat usia kita dua tahun, ibu mengajar kita bermain; dan kita mengucapkan terima kasih dengan berlari sambil tertawa terkekeh-kekeh dan enggan menghiraukannya. Ketika usia kita tiga tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuh kasih sayang, dan kita mengucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan itu di atas dan di bawah meja. Maka, fikirkanlah apa pula pengorbanan kita sebagai anak-anak kepada mereka. Wallahua’lam.

2 Replies to “Anak-anak pun kena memahami erti pengorbanan”

mohd bukhari bachok 16 November 2010 at 10:26 am

Salam..utz..tahniah tulisan2 yg.mnarik..knal ana lg.tak

Ust Mizul 16 November 2010 at 10:59 am

W’salam Bukhari, maaflah…ada gambar tak? Jik ada, bubuhlah…insya-allah ana ingat anta…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.