Zakat Pendapatan: Memahami harta al-Mustafad

Soalan: Apakah Harta al-Mustafad dan jenis-jenis harta berkenaan yang wajib dizakatkan?

Jawapan: Maksud Mal al-Mustafad ataupun pendapatan, ialah semua jenis upah, imbuhan, bayaran, sewaan atau hasil yang diperoleh daripada apa sahaja jenis pekerjaan atau usaha yang dilakukan, sama ada secara tetap, bermusim atau sekali-sekala.

Ulamak mutaakhirin telah membahagikan Mal al-Mustafad ini kepada tiga jenis, iaitu (1) Penggajian dan upah kerja; (2) Harta kerja bebas dan professional dan (3) Harta al-Mustaghallat.

Penggajian dan upah kerja bermaksud, semua pendapatan yang diperolehi melalui gaji, upah, ganjaran, imbuhan dan sebagainya yang diperolehi oleh seseorang pekerja daripada majikan, hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya, sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat (pencen) ataupun selepas kematian.

Contohnya, gaji, upah, bonus, tuntutan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah, anugerah, insentif, hasil ESOS (Skim Pilihan Saham Pekerja) dan sebagainya serta apa sahaja hasil yang diperolehi dengan sebab jalan pekerjaan atau penggajian.

Harta kerja bebas dan profesional pula, bermaksud semua pendapatan yang diperolehi melalui upah, bayaran, imbuhan, royalti, komisyen dan sebagainya yang diperolehi hasil daripada usaha dalam bentuk kerja bebas (freelance) atau perkhidmatan profesional.

Sebagai contoh, bayaran perkhidmantan konsultansi profesional seperti peguam, arkitek, doktor dan sebagainya. Juga bayaran projek yang diterima oleh kontraktor dan keuntungan projek bermusim. Ia juga meliputi komisyen dan residual income, yakni pendapatan daripada jualan insuran, takaful, saham amanah atau unit trust, brokeraj dan seumpamanya termasuklah jualan langsung. Bayaran royalti atau komisyen hasil daripada penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya juga termasuk dalam harta pekerjaan bebas dan professional.

Manakala, harta al-Mustaghallat adalah semua pendapatan yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat pada induknya (fizikal); tetapi mendatangkan pulangan atau hasil dengan cara sewaan atau jualan hasilnya.

Contohnya, hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis perniagaan, kenderaan, alat pengangkutan, peralatan dan mesin dan juga termasuklah hasil yang dikeluarkan oleh binatang seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual dan memperolehi hasil.

Oleh itu, kesimpulannya hendaklah kita fahami secara terang dan jelas bahawa kerjaya sebagai doktor, jurutera, usahawan asas tani, ejen insuran atau takaful, ejen kereta, penternak ikan atau akuakultur, pemilik rumah sewa, pereka hiasan, penggiat seni, penceramah bebas dan motivator, penulis, penggubah lagu, model iklan, jurugambar sambilan, malah seorang pesara atau apa-apa sahaja kerja yang menghasilkan pendapatan, maka semuanya tertakluk kepada zakat pendapatan atau mustafad. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my

One Reply to “Zakat Pendapatan: Memahami harta al-Mustafad”

Suhara 22 December 2016 at 5:01 pm

Assalamualaikum ustaz.Bolehkah zakat pendapatan yang sepatutnya saya bayar kepada pusat zakat saya sumbangkan kepada rumah anak yatim atau pembinaan masjid?

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.