Ragu dengan agihan zakat

Nota: Ini adalah jawapan persoalan zakat yang saya sediakan untuk ruangan Bicara Zakat di Utusan

Soalan: Saya agak was-was dan ragu dengan cara pentadbiran, pengurusan dan agihan yang telah institusi zakat lakukan kerana banyak laporan yang saya dengar, nasib asnaf tidak terbela. Bagaimana harus saya mengatasinya?

– Puan X (Menerusi e-mail)

(Foto: Salah satu cover majalah Asnaf terbitan LZS)

Jawapan: Saya mengucapkan tahniah, kerana puan berterus terang bertanya isu ini. Memang ramai yang mempunyai sangkaan negatif, sedangkan ia tidaklah baik di dalam Islam. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: “Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong,” (sebahagian hadis riwayat Imam Muslim).

Sebenarnya, asnaf zakat sudah disebut secara jelas di dalam al-Quran (rujuk surah at-Taubah, ayat 60). Manakala, dalam amalan pengagihan zakat pula, khususnya di Lembaga Zakat Selangor (LZS), ia diawasi secara ketat oleh beberapa pihak.

Majlis Fatwa Negeri adalah badan tertinggi yang akan membuat keputusan, terhadap siapakah agihan zakat boleh disalurkan dengan berpandukan kepada nas-nas al-Quran, al-hadis dan juga pandangan ulamak yang sahih. Di Selangor misalnya, Fatwa Agihan Zakat Selangor telah pun diwartakan pada tahun 1994 yang menjadi polisi dalam urusan agihan zakat.

Kemudian, ditubuhkan juga Lembaga Pemegang Amanah yang bertanggungjawab memantau perjalanan institusi zakat, termasuklah agihannya. Di samping itu, Jawatankuasa Agihan Zakat turut ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh Mufti Negeri. Jawatankuasa ini sentiasa memantau bentuk agihan yang dilaksanakan.

(Suasana semasa agihan zakat di Masjid as-Salam, Puchong)

Bahkan, LZS turut mempunyai prinsip agihan yang menjadi panduan dalam mengagihkan zakat. Prinsip agihan itu ialah Isti’ab (menyeluruh), Ikhtisas (ketetapan), Hak, Muraqabah (pengawasan), Kifayah (kecukupan) dan Fauran (segera). Prinsip agihan ini bertujuan memastikan, zakat hanya diagihkan kepada yang berhak dan dilakukan secara adil dan telus.

Jika disandarkan kepada amalan di LZS, bagi saya ia adalah telus dan terbuka. Sesiapa sahaja boleh melihat transaksi agihan zakat yang dilaporkan dari semasa ke semasa, sama ada melalui majalah rasmi mahu pun di dalam laporan tahunan.

Namun, saya yakin persepsi negatif sedemikian timbul apabila adanya laporan pihak luar yang menunjukkan seolah-olah ada institusi zakat yang tidak cekap mengagihkan wang zakat.

Ulamak membahaskan panjang lebar isu ini. Maka, saya ingin menyatakan bahawa, dalam Islam jika puan sudah berzakat, maka kewajipan puan sudah terlepas. Pihak pengurus zakat itulah yang bertanggungjawab dan jika pihak pengurus zakat itu tidak amanah, merekalah yang berdosa; bukannya puan.

Namun, jika asnaf masih menerima hak mereka walaupun berlaku sedikit sebanyak kelemahan, sebaik-baiknya zakat wajar diberikan kepada pihak institusi zakat. Ini lebih menepati sunnah.

Sebagai jalan tengah, saya mengesyorkan puan membuat pertanyaan rasmi kepada institusi zakat yang berkaitan, tentang corak agihan zakat mereka dan juga minta ditunjukkan bukti, bagaimanakah wang zakat itu dibelanjakan. Misalnya, ditunjukkan projek ekonomi asnaf, kejayaan-kejayaan asnaf, pusat komuniti asnaf dan sebagainya. Wallahua’lam

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.