Melunak sabar dalam berharta

Nota: Tlisan ini dititipkan kepada MIDI

Ada dua perkara yang sukar dalam dunia ini. Pertama, mentadbir harta dan kedua, mentadbir anak-anak. Jika dirujuk kepada al-Quran dan al-hadis, banyak terdapat peringatan dan ayat-ayat yang menyinggung aspek ini. Di sini, cukuplah kiranya saya pamerkan hanya satu daripadanya.

Allah SWT berpesan: “Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang merugi,” (al-Munafiqun: 9)

Harta adalah jambatan mencari kemanisan. Orang yang berharta, lazimnya mereka mudah mencapai hajat apa sahaja. Sebutlah, pelosok mana di atas muka bumi Allah yang indah, mereka boleh ke sana dengan banyaknya harta. Sebutlah, apa jenis makanan terenak dan terlazat, mereka boleh mencicipinya dengan banyaknya harta.

Namun, harta adalah sesuatu yang sering menjerat manusia. Jerat harta selalunya halus. Ia tidak seperti jerat sang pelanduk yang seringkali mampu dilihat oleh mata. Jerat harta inilah yang sering menjebak manusia ke lembah noda dan dosa. Qarun sudah pun menjadi buktinya.

Orang yang kurang berharta, maka mereka diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Selalunya, ujian kekurangan harta menyebabkan manusia merasa perit. Namun, keperitan itu bisa dilalui dengan kesabaran dan menjadikan kita lebih ingat kepada Tuhan. Tidak ada makanan, mereka sanggup berlapar. Tiada rumah, mereka sanggup bernaung di bawah kolong jambatan.

Tetapi, bagaimana pula dengan ujian banyaknya harta. Ia adalah ujian yang amat menduga. Dalam halus dan tanpa sedar, harta itu adalah ujian sebenarnya. Lalu, berapa ramai pula yang sanggup bersabar menghadapinya? Inilah ujian yang lebih merbahaya.

Sabar dalam banyaknya harta adalah lebih mencabar daripada kurangnya harta. Orang miskin, mereka akan cuba menyesuaikan kehidupan sesuai dengan keadaan kemiskinan diri. Berbanding si kaya, mereka lebih leluasa menggunakan kekayaan dan hajat akan sering terpenuhi.

Maka, dalam konteks ini ketaatan dalam kemiskinan harta adakalanya lebih lunak dilakukan; berbanding ketaatan dalam kemewahan harta. Ia adalah ujian yang benar-benar menguji iman dan takwa. Adakah orang kaya berkenaan, benar-benar sabar mengendalikan nafsunya hingga harta kekayaannya benar-benar terarah ke jalan yang Allah reda?

Lalu, Imam al-Habib Abdullah al-Haddad, seorang ulama yang diuji dengan kedua belah matanya buta telah menulis di dalam kitabnya, bahawa walau apa pun sekali keadaan kita, miskin mahu pun kaya, hendaklah kita bersabar. Sabar dalam ketaatan ibadah kepada Allah dan sabar dalam meninggalkan maksiat kepada Allah.

Sementara itu, Ibn Ataillah, seorang ulama sufi ada menyatakan: “Bahawasanya Allah SWT mengurniakan ke atas kamu sesuatu kurniaan supaya kamu datang kepada-Nya.”

Ini semua menunjukkan, bahawa keadaan diri yang banyak harta sebenarnya memerlukan kesabaran yang lebih untuk lebih taat, tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Bahkan ia adalah anugerah yang sepatutnya memandu kita menjadi hamba yang lebih takwa.

Maka, tidak peliklah kiranya Allah menyatakan: “Dan, sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan,” (an-Nahl : 96), kerana sesungguhnya ketaatan dalam kemewahan ternyata lebih menguji keimanan. Demikianlah, melunak sabar dalam berharta. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.