Carilah kebahagiaan di sela-sela RM kita

Nota: Artikel ini disediakan untuk MIDI

Kemeriahan menyambut hari raya adalah satu anugerah daripada Allah SWT. Maka, tidak salah bagi seorang muslim menyambut aidilfitri dengan penuh kegembiraan. Hal ini dibolehkan oleh Islam, sebagaimana sabda nabi: “Seorang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Rabb (Tuhan)-nya,” (riwayat Bukhari)

Kegembiraan waktu berbuka itu, ada dua. Pertama gembira ketika berbuka puasa. Kedua, gembira ketika dapat menyambut datangnya hari raya.

Dalam kegembiraan itulah, kadangkala manusia tidak sedar berbelanja. Apatah lagi dengan status kewangan yang agak baik, mungkin juga dengan pemberian bonus menjelang raya, maka kuasa membeli makin membara. Maka, banyaklah super market dan bazaar diterjah. Banyaklah kain baju dijarah. Layaknya, inilah raya yang mungkin terakhir kali akan diraikan.

Inilah perkara yang perlu diawasi. Islam menganjurkan kita agar berhemah atau berpada-pada dalam berbelanja. Bersederhanalah! Itu yang terbaik, sebagaimana sabda nabi: “Sebaik-baik pekerjaan itu adalah yang pertengahan (sederhana),” (hadis riwayat Dailami)

Pada sisi lain, Allah SWT juga menegaskan: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian (Al-Furqan : 67).

Maka, dapat difahami bahawa sikap melampaui batasan dalam berbelanja adalah ditegah oleh Islam. Orang yang bersifat seperti ini boleh sahaja dianggap ekstrimis dalam berbelanja. Jika ekstrimis dalam agama ditegah; maka sama sahajalah dalam konteks berbelanja.

Rasulullah SAW adalah manusia yang amat menyantuni sesama manusia. Maka, moleklah, jika di dalam kemeriahan menyambut hari raya ini kita menauladani akhlaknya rasul. Antaranya, nabi sering menziarahi orang-orang miskin dan memenuhi keperluan mereka.

Pada sisi lain, orang-orang miskin juga berhak meraikan kedatangan aidilfitri. Sebab itulah Islam mewajibkan zakat fitrah, agar dengannya ia dapat memberikan hak keseronokan kepada orang-orang miskin. Tetapi, padankah dengan hanya nilai beberapa ringgit itu untuk membahagiakan hati si miskin?

Jawapannya hampir pasti tidak. Mereka bahkan memerlukan lebih lagi. Jika anak-anak kita menginginkan baju raya, maka demikian jugalah mereka. Jika isteri kita mengidamkan langsir baharu, maka samalah mereka. Jika kita mengangankan kenderaan baharu, maka seperti itu jugalah mereka. Hanya kemampuan yang berbeza membatasi segala.

Maka, apa kata dalam kemeriahan raya ini, kita mencari sebuah keluarga yang miskin. Kita berikan sedikit kegembiraan pada wajah mereka. Caranya, berilah mereka sedikit wang agar dengannya mereka juga mampu membeli apa yang mereka dambakan.

Mungkin tidak secantik baju anak kita, tidak seindah langsir di rumah kita dan tidak pula semampu kita memiliki kereta baharu.

Tetapi, mereka mampu menjadikan hari raya mereka lebih bermakna. Ya, siapa tahu ini juga hari raya yang terakhir buat mereka.

Kesimpulannya, marilah kita lebih waspada dan bijaksana dalam berbelanja. Carilah reda Allah di sela-sela RM yang kita belanjakan. Hari raya ini milik semua, maka sebarkanlah keceriaan kepada setiap yang bernama manusia. Selamat hari raya. Wallahua’lam!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.