Negeri 5 Menara

Tajuk: Negeri 5 Menara
Penulis: A. Fuadi
Penerbit: PT Gramedia Pustaka Utama, Indonesia
Jumlah muka: 422
Tahun terbit: Cetakan kelima, Februari 2010
Harga: Rp50 ribu
ISBN: 978-979-22-4861-6

Semasa ke Indonesia beberapa purnama lepas, saya menonton siaran TV ‘Kick Andy’ yang dihoskan oleh Andy F. Noya. Tamunya kala itu seorang anak muda berkaca mata. Mereka membicarakan mengenai sebuah novel. Itulah dia Negeri 5 Menara.

Hakikatnya, saya memang gemar membaca khususnya bahan yang memberikan kelainan. Cerita bukan sekadar cerita; tetapi ada maklumat yang mampu mengesankan jiwa. Itulah Negeri 5 Menara. Sebuah novel tulisan anak muda lulusan sebuah sekolah pondok pesantren moden di Pulau Jawa – Pondok Gontor – namanya!

Dalam kisah ini, kita dihadapkan dengan kisah perjuangan seorang remaja yang terpaksa mematuhi kehendak orang tua. Kos melepasnya, dia harus meninggalkan cita-cita untuk ke sekolah menengah biasa (di Indonesia dikenali Sekolah Menengah Atas atau SMA) dan menguburkan impian menjadi seorang jurutera seperti BJ Habibie – idolanya – mantan Presiden Indonesia.

Alif Fikrie, itulah namanya. Dilahirkan di Kampung Maninjau, sebelah kampung Buya Hamka di Tanah Padang. Beliau adalah citra anak muda Indonesia yang wajar dibanggakan. Berasal dari kampung nan jauh. Bermusafir kelana demi ilmu. Ia kisah benar bagi insan bernama A. Fuadi. Tidak berlebih-lebihan; tetapi mengujakan. Truely it’s very inspiring. Ia memaknakan sebuah dunia dan kesusahan melalui denainya dalam meraih kejayaan. Ia adalah sebuah agenda pembelajaran. ‘Man jada wa jada’ menjadi taruhan. Di mana ada kemahuan, maka di situ ada jalan.

Dilatari sebuah sekolah pondok. Bayangkan, disiplin dan akhlak menjadi taruhan. Tiada nama toleransi sebagai andalan. Tiada nama berlebih-kurang dalam tindakan. Ia berbeza dengan persepsi kuno dunia pondok. Alahai, dengan gurunya yang sentiasa berserban dan berjubah, juga murid-murid atau santrinya hanya berkain pelikat dan berkopiah. Di sini, mereka mengenakan dasi dan kemeja juga wajib mengguna dua bahasa – Inggeris dan arab. Tiada ketiga melainkan denda. Tidak hairanlah, bahasa lulusan pondok moden Gontor ini memang tangguh. Teringat saya semasa menadah kitab di Madrasah an-Nuriyah dahulu, ustaz kami sentiasa berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan anak-anak muridnya. Dan dia memang lulusan Pondok Gontor inilah.

Kita akan berhadapan dengan enam orang sahabat. Mereka adalah subjek yang membawa sisi cerita masing-masing. Setiap orang ada laranya. Namun mereka saling berkerjasama. Mereka juga saling berkongsi cita-cita. Melakar awan gemawan menjadi peta. Tempat indah yang menjadi impian mereka. Itulah lima menara – Amerika Syarikat, London, Kaherah, Jakarta dan Madinah.

Mereka berhempas-pulas. Tidak pernah culas. Kita bisa terkesima dengan kisah mereka. Andai kita punya anak-anak, wajarlah mereka menghayati novel ini. Ia menghidupkan. Membakar semangat juang. Tiada jalan pintas untuk naik ke pentas kejayaan; melainkan langkah pertamanya ialah kesusahan.

Tanpa curiga, saya mengangkat ibu jari dan menyisipkan lima bintang buat novel ini. Ia bukan sekadar sebuah karya memenuhi kisah nostalgia seorang manusia – malah ia memaknakan sebuah perjuangan mengejar cita-cita. Maka, bacalah!

One Reply to “Negeri 5 Menara”

Jejaka ini Mas Fuadi! « Hamizul Abdul Hamid 25 April 2011 at 12:37 pm

[…] Indonesia, A. Fuadi. Inilah penulis yang novelnya, Negeri 5 Menara (yang telah saya baca dan ulas di sini) telah menarik minat saya untuk menitip anak ke Pondok Pesantren Gontor di Jawa Timur. Usianya, […]

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.