SEBUAH DRAMA BERTAJUK: “PUTERI IBU”

Nota: Ini adalah sebuah drama. Saya hasilkannya untuk siaran Radio Salam.FM tahun lalu. Manuskrip ini telah dibeli oleh JAKIM. Saya menyiarkannya sebagai suatu kontribusi dan sokongan saya kepada Palestin. Kala saya menghasilkan skrip drama ini, keganasan Zionis-Israel baharu sahaja menjahanamkan Ghaza…

Watak-watak

Zainab (Seorang gadis kecil berusia sepuluh tahun)

Dr Husna (Ibu Zainab, seorang doktor di Ghaza City Hospital berusia 40 tahun)

Cik Mastura (guru kelas Zainab di Sekolah Tajaan PBB)

Puan Khatija (Guru Besar sekolah Zainab)

BABAK 1:

Bunyi kicauan beburung pagi yang segar. Ada dengung angin semilir yang berpuput di sela dedaunan. Sesekali bunyi kanak-kanak bertingkah girang. Tika itulah, ada suara kecil sedang bermonolog. Intonasinya sedih sekali…

ZAINAB
”Ibu, sekolah saya sudah luluh ibu. Hancur menjadi debu. Puing-puingnya bertaburan. Asapnya berhamburan ke udara.”

Kemudian si gadis kecil meneruskan monolognya.

ZAINAB
”Tiga purnama dahulu ibu…waktu pagi sewaktu kami anak-anak kecil Ghaza mahu memulakan sesi pelajaran kami, ada dengung di udara. Ibu…Kami dengar, ia makin mendekat. Tiba-tiba, Puan Khatija menerpa ke kelas kami. Dengan mengah suara dan dengan wajah yang amat tegang dia berkata kepada kami:

Pn KHATIJA
”Ukhruj! Ukhruj! Keluar cepat…selamatkan diri!!!”

Bunyi kedamaian beburung dan dedaunan dipuput semilir kini bertukar bunyi dengung jet pejuang di udara. Sayup-sayup dan makin lama makin hampir. Diikuti dengan suara garau seorang wanita separuh baya berbunyi…ukhruj! Ukhruj!!

Pn KHATIJA
Ukhruj! Ukhrujj!!!

ZAINAB
”Ibu, kami bercempera meninggalkan kelas. Kerusi meja kami tunggang-langgang jadinya. Buku dan pensil kami tinggalkan. Kami menuju ke kawasan lapang yang memang sudah dikhaskan jika berlakunya kecemasan.

Kini bunyi keadaan kelam-kabut pula mengisi keadaan. Bunyi kerusi meja yang jatuh bertaburan, suara kanak-kanak yang mulai menangis dan bertolak-tolakan mencari jalan keluar dari kelas. Juga suara perempuan separuh baya…Ukhruj!!!

Pn KHATIJA
Ukhruj! Ukhruj!!

ZAINAB
”Ibu, di padang bola keranjang sekolah, aku lihat sudah mulai ramai pelajar berkumpul. Mereka semuanya gawat. Ah…Wajah-wajah kami semuanya diselaputi kekaburan dan ketakutan. Saat kaki kami melangkah laju, kami melihat di awan ada jet pejuang yang terbang laju. Serentak dengan itu juga ibu, tiba-tiba kedengaran… Boom!!! Booom!!! Booommm!!!

Waktu inilah bunyi bom berjatuhan jelas kedengaran berlanjutan. Bom! Boomm!! Booommm!!! Diselang-seli bunyi suara bingar dan jet pejuang Israel.

ZAINAB
”Ibu, pandangan aku menjadi kabur. Telinga ini bagaikan tersumbat dengan pepasir yang terhambur. Sekilas, aku melihat padang bola keranjang hancur. Ada api menyambar di sana ibu. Bersama-sama puluhan pelajar yang sedang beratur. Tika itulah ibu, aku jatuh ke tanah lalu tersungkur!”

Pelbagai bunyi di atas bom, jet pejuang dan suara ketakutan terus bersahut-sahutan. Diselangi dengan suara jet pejuang yang mengganas di udara. Dan diselangi dengan suara manusia kecemasan. Suara kanak-kanak berbaur ketakutan. Suara manusia mencari tempat selamat. Diikuti satu suara kecil milik Zainab…”Ibu….!” yang agak nyaring dan terus senyap! Sepi semuanya.

BABAK 2:

Suasana kembali sunyi. Tiba-tiba diikuti satu suara kecil, melirih rintih menahan kesakitan. Suara Zainab.

ZAINAB
”Ibu….ibu….di mana ibu…aina umi?”

Kemudian, suara wanita berusia awal 20-an, milik Cik Mastura mengisi ruang.

MASTURA
”Ya Zainab! Bangunlah adikku. Apakah kamu mampu mendengar suara ini?”

Zainab masih dalam kekejutan. Dengungan jet masih menguasai fikiran. Sesekali bunyikan suara dengungan jet pejuang Israel dan sayup-sayup buni bom berjatuhan, dentuman bom dan suara kanak-kanak dalam ketakutan.

ZAINAB
”Saya…saya di mana. Aina ana…?” Lemah suara berinti ketakutan. Ketarnya masih jelas terasa.

MASTURA
”Anti di rumah sakit Ghazah. Saya…Cik Mastura guru kelas kamu.”

ZAINAB
”Ya saiyidah, apa sudah jadi pada kita, apa sudah berlaku pada sekolah? Cikgu, tolong bangunkan saya….oh…auch, sakitnya” Zainab bertanya rakus. Dia cuba bangun, tapi kesakitan di beberapa bahagian tubuh menghalang. Baharulah dia sedar, kepalanya berbalut, badannya luka-luka dan…sebelah kakinya sudah kudung!

MASTURA
”(Dalam nada sedih dan memujuk) Sabarlah wahai Zainab. Lihatlah tubuh kamu ini. Kepala kamu berbalut. Badan kamu calar-balar terluka. (sob…sob…ada nada sedih dan menahan tangisan). Dan…kaki kamu sudah hilang Zainab!” Cikgu Mastura menahan sebak di dada. Dia cuba menahan tangis dan dalam masa yang sama menenangkan Zainab anak muridnya.

ZAINAB
”Ya Allah! Ampunkan daku…manakah kaki kiriku cikgu. Ya saiyidah! Kenapa dengan ana. Ke mana kaki ku? Tolong…saya mahu bangun. Ah…aduh…tolong saya cikgu!!!” Bunyi suara Zainab seperti mahu bangun daripada pembaringan. Namun susah dan sukar sekali keadaannya. Bunyinya dia seperti sedikit kecewa berbaur marah dan penuh kesedihan.

Tika itulah, baru Zainab menyedari bahawa di sekelilingnya masih ramai insan yang malang. Masukkan suara suasana sebuah rumah sakit yang bingar dengan pelbagai suara. Ada suara memujuk, ada suara menangis, ada suara mengaduh kesakitan, ada suara menahan sabar.

(Suasana kena direka, iaitu di rumah sakit Ghazah itu kelam-kabut sekali. Teruskan dengan suara-suara merintih lirih mengisi ruang. Tidak kurang juga suara raungan menahan kesakitan. Di selang-seli suara memujuk agar bersabar. Juga sesekali selingan bunyi ngeri…boom! Diikuti gegaran yang menggoncang katilnya).

MASTURA
”Ya Allah! Petaka apakah lagi kini…Sabar ya Zainab…Allahu akhbar!”

Senyap.

BABAK 3:

Suara kedamaian kini mengisi ruang pendengaran. Ada siulan beburung, bunyi deruan air terjun, bunyi suara kanak-kanak sedang bercakap-cakap tanpa butiran yang jelas.

Monolog Zainab diteruskan.

ZAINAB
”Ibu, kini tiga purnama telah berlalu dari peristiwa pahit awal tahun baru. Ibu, tahun 2009 ini, kita menyambutnya dengan pesta bunga api kiriman Rejim Haram Zionis-Israel. Sang Yahudi yang celaka itu, mengirimkan bom-bom api ke Semenanjung Ghazah buat kita ibu. Akulah antara penerimanya. Ibu, kini anakmu ini bertongkat ibu. Ini, di ketiak aku ada tongkat yang menompang. Ibu, kaki anakmu ini putus disambar bom berangkai milik tentera Israel.

Tiba-tiba kedengar suara azan. Allahuakhbar 2X…pada rangkap yang terakhir. Kemudian, ada suara cikgu Mastura meminta anak-anak muridnya bersegera solat berjemaah.

MASTURA
“Marilah anak-anak, waktu solat Zuhur sudah masuk. Mari kita solat berjemaah..”

Kemudian terdengar suara imam mengangkat takbiratul ihram…sunyi….sepi….diikuti salam….Assalamua’laikum warahmatullah…2X

Kemudian diikuti dengan suara tangisan Zainab dalam keadaan berdoa. Sayu dan sedih mengisi suasana. Dia tersedu dan penuh pasrah berdoa kepada Allah.

(Masukkan juga suara sayup-sayup selawat atas nabi…Ya rasulullah salamunalaik…)

ZAINAB
”Ya Allah ya Tuhanku. Kembalikanlah ibuku. Oh ibu…ke manakah engkau? Sudah tiga purnama ibu. Aku menagih rindumu. Mata beningmu sentiasa mengganggu tidur malamku. Wajah redupmu sentiasa memayungi siangku. Tolonglah ibu, kembali kepadaku. Aku amat merinduimu.

”Ya Allah, dalam dakapan kasih sayang-Mu, aku memohon agar ibuku selamat. Andai ibu masih hidup, kembalikanlah dia kepadaku. Terasa seakan dia masih hidup ya Allah. Masih menghirup udara-Mu. Masih berjalan di atas muka bumi ini. Namun ya Allah, andai ibu sudah pergi, tunjukkanlah aku akan kuburnya. Ingin sekali aku berziarah kepadanya ya Allah. Kemudian menghadiahkan sepotong al-Fatihah”

Zainab bersuara lirih di hamparan sejadah. Dia baru sahaja menunaikan solat Zuhur berjemaah.

BABAK 4:

Suasana di sebuah kantin. Ada bunyi pinggan dan sudu berlaga. Juga riuh rendah suara manusia. Sayup-sayup kedengaran suara budak lelaki membaca doa makan…’Allahummabariklana…’ memakan makanan yang disediakan.

MASTURA
”Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, kita dapat makan hari ini. Makanlah…ini rezeki Allah buat kita semua.” Bunyi suaranya berbaur ceria dan gembira.

KHATIJA
”Cikgu, selepas serangan Israel awal tahun baru ini, segala-galanya merubah suasana. Lihat si Zainab, dia kehilangan segala. Hilang sudah wajah cerianya. Rumahnya lenyap menyembah bumi. Apartmen sepuluh tingkat tempat mereka sekeluarga menumpang teduh, ranap sama sekali. Bukan sekadar itu, turut ranap di dalamnya ialah seisi keluarganya.”

MASTURA
”Itu saya sedar puan. Kerana itulah, kita perlu memberikan mereka semangat untuk hidup. Sementelah, kini dia anak yatim piatu. Ayahnya syahid dibedil Yahudi. Kini ibunya pula pergi, hilang tanpa tanda dan bukti. Satu-satunya andaian ibu Zainab sudah mati, ialah dia terperangkap dalam runtuhan apartmen mereka. Bukan beliau seorang, ramai lagi yang hilang.”

KHATIJA
”Ah…Yahudi ini memang celaka! Apakah nasib kita ini cik Mastura ? Sejak saya mengenali dunia ini hingga kini usia saya sudah 43 tahun, saya tidak pernah kenal erti aman di sini, di Palestina ini.”

MASTURA
”Hmm…jika puan sendiri tidak mengenali erti keamanan, apatah lagi bagi saya yang baru mentah setahun jagung ini. Usia saya baru 25 tahun puan. Bahkan saya kehilangan dua orang abang ditangkap tanpa periksa oleh Israel. Bapa saya juga hilang tanpa berita. Kini saya hanya ada seorang ibu tua di rumah menanti penuh pasrah.”

KHATIJA
”Ana hanya mampu menyatakan, inilah pilihan kita Mastura. Meneruskan tatih hayat kita di bumi ’bertuah’ ini. Allah telah mentakdirkan kita lahir dan membesar sebagai warga bumi al-Aqsa. Kita tidak pernah memintanya. Maka, itu maknanya Allah mahu kitalah yang mempertahankan kesucian rumah Allah, kesucian Masjid al-Qsa yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam.

”Anti tahu, ketika ana melanjutkan pelajaran di Malaysia pada akhir 1980-an, umat Islam di sana sebenarnya amat menghormati kita rakyat Palestina. Mereka bahkan menaruh harapan agar di tangan kita inilah kelak, kedaulatan al-Aqsa akan dikembalikan kepada Islam. Mereka sebenarnya menyokong kita.

MASTURA
”Puan pernah belajar di Malaysia? Di manakah itu? Serasa saya seakan pernah mendengar namanya?”

KHATIJA
”Habis persekolahan tinggi di sini, saya menerima tawaran daripada Kerajaan Malaysia melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau nama ringkasnya UIAM. Perdana Menteri mereka amat mendokong perjuangan rakyat Palestin, bahkan mereka membuka Kedutaan Palestin di sana.

”Saya melanjutkan pendidikan saya dalam bidang Ekonomi dan Muamalat Islam. Di sana juga saya didedahkan pengalaman menarik menerajui orgnisasi. Mahasiswa UIAM pula terdiri daripada pelbagai bangsa di dunia. Ada orang dari Eropah, Afrika dan banyak negara Arab yang menghantar pelajar ke sana.

MASTURA
”Wah! Bertuah sungguh puan. Teringin saya. Tidakkah mereka mengetahui kisah penderitaan kita di sini?”

KHATIJA
”Mereka tahu malah sentiasa ambil tahu. Masyarakat Islam di Malaysia malah sentiasa mengenang Peristiwa hitam di kem Sabra dan Shatila pada musim sejuk September 1982. Lebih dari itu, mereka juga amat mengenang Peristiwa Nakbah yang menimpa Masjid Aqsa yang berlaku pada 1969.

”Setiap kali menjelangnya tarikh kedua-dua peristiwa itu, maka mereka akan menyambutnya dengan mengadakan ceramah, forum dan demonstrasi. Mereka malah mengadakan kutipan derma bagi kita. Kala itu, sayalah yang menjadi wasilah bagi mereka menyampaikan derma mereka kepada pertubuhan Islam Palestin di sini.

MASTURA
”Tidakkah mereka mahu menghantar bantuan ke sini? Kita amat memerlukan sukarelawan bagi membangunkan masyarakat Palestina yang serba naif dan ketinggalan ini.

KHATIJA
”Setahu saya, mereka sebenarnya mempunyai banyak pertubuhan sukarelawan. Yayasan Aman Palestin dan Yayasan Amal Palestin, misalnya adalah dua buah organisasi bukan kerajaan yang amat akrab membantu kita. Anti tentu pernah mendengar nama itu?

MASTURA
”Na’am, ana memang pernah tersua dengan beberapa orang sukarelawan itu. Ya…Suhaimi….em..bin Embong, adalah salah seorang daripada mereka. Dia pernah membawa banyak buku rujukan bagi subjek Sains dan Matematik untuk anak-anak Palestina. Hm…..orangnya pun boleh tahan, peramah, berbudi bahasa dan hitam manis orangnya.

BABAK 5:

Pagi masih dingin. Masih basah pagi kala Zainab melangkah keluar ke sekolah. Bunyi burung-burung berkicau menimbulkan suasana nyaman dan ceria. Ada bunyi deruman kenderaan, juga loceng-loceng basikal anak-anak sekolah.

ZAINAB
”Selamat tinggal ibu. Zainab pergi dulu..assalamua’laikum.”

Dr HUSNA
”Hati-hati Zainab. Nanti pulang dari sekolah terus ke rumah. Ibu akan ke hospital mungkin lewat malam baru pulang.”

Kedengaran bunyi kenderaan menderum lagi. Kemudian bunyi daun pintu ditutup.

Tiba-tiba deringan telefon berbunyi nyaring…. Trut…truttt!!!

Dr HUSNA
”Hello! Dr Husna di sini.”

”Apa…ada kecemasan di hospital? Baik, saya ke sana sekarang.”

Bunyi tapak kaki berkejaran, bunyi anak kunci berlanggaran, daun pintu kereta ditutup, kereta dihidupkan enjinnya, dan ngauman kereta menderum pergi.

Bunyi hon kereta bersahutan. Bunyi deruman pesawat pejuang dan bom berguguran dan boom!!! Di pertengahan jalan, kereta Dr Husna tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Pengeboman tiba-tiba oleh jet pejuang Israel menyebabkan jalan raya terhenti alirannya.

Dr HUSNA
”Ya Allah, malapetaka apakah ini? Jahanamlah kamu wahai Israel. Laknat Allah ke atas kamu dengan perbuatan kamu ini!”

Lagu Arab di radio keretanya berhenti tiba-tiba. Keluar pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa Palestina:

Dr HUSNA

”Oh…ada pengumuman…baik saya kuatkan sikit radio ini:

”ASSALAMUA’LAIKUM WRT DAN SELAMAT SEJAHTERA. INI ADALAH PENGUMUMAN RASMI DARI PEJABAT PERDANA MENTERI PALESTIN. WAHAI RAKYAT PALESTIN, HARI INI NEGARA HARAM ISRAEL MENGISYTIHARKAN PERANG KE ATAS KITA. PERTAHANKAN DIRI DAN NEGARA PALESTIN. INI ADALAH JIHAD KITA. ALLAHUAKHBAR!”

Bunyi deruman pesawat pejuang berterusan dan bom meletup di sana sini. Suara keriuhan dan jeritan bersipongganG dan keadaan kelam-kabut kedengaran.

DR HUSNA
”Ya Allah ya Tuhan kami, selamatkanlah anakku Zainab dan rakyat Palestin…”

BABAK 6:

Suasana tenang, sayup-sayup terdengar lagu Arab melatari perbualan.

ZAINAB
”Ibu, sampai bilakah negara Israel akan terus menjajah kita?”

Dr HUSNA
”Selagi mana kita tidak mampu mengalahkan mereka.”

ZAINAB
”Ibu, mampukah kita mengalahkan mereka. Mereka ada segalanya ibu. Senjata mereka canggih, Amerika membantu mereka.”

Dr HUSNA
”Insya-Allah, kita mampu sayang. Kitakan ada Allah. Lagi pun, dalam sejarah tamadun dunia, Palestin ini memang menjadi rebutan sejak dahulu lagi. Di sini pernah menerima kedatangan Salahuddin al-Ayubi, Saidina Umar al-Farouk dan Nabi Musa sendiri memimpin umatnya ke sini. Memerdekakan bumi Palestin dari penjajahan.

ZAINAB
”Tapi, mereka semua sudah tiada. Mereka sudah wafat ibu. Jadi, dengan senjata apakah kita mampu mengalahkan mereka wahai ibu dan siapakah yang akan memimpin kita?”

Dr HUSNA
”Zainab, Nabi Muhammad SAW meninggalkan kita al-Quran dan sunnahnya. Umar pernah mengatakan, kita yakni bangsa Arab menjadi umat yang kuat dengan Islam. Sebaliknya, kita menjadi lemah jika meninggalkan Islam. Maka, senjata kita adalah Islam. Yang akan membantu kita ialah seluruh umat Islam. Yang akan memimpin kita adalah diri kita sendiri.

ZAINAB
”Saya masih tidak faham ibu?”

Dr HUSNA
”Maknanya, ibu mahu kamu mendalami ilmu, kemudian dengan ilmu itu kamu memajukan diri dan bangsa kita. Itulah yang Islam mahu. Kemudian, satukan rakyat Palestin, bahawa kita adalah umat yang terpilih. Panjangkan tali ukhuwwah Islamiyyah ke seluruh dunia. Tanamkan keyakinan kepada Allah SWT. Ingatlah, Islam akan menguasai kembali bumi Palestin ini. Insya-Allah!”

BABAK 7:

Bunyi kedengaran sayup-sayup bunyi orang membaca al-Quran surah al-Israk.

ZAINAB
Bismillahirrahmanirrahim. (Zainab mengalunkan bacaan al-Quran surah al-Israk hingga ayat ketiga)

Zainab berhenti membaca al-Quran. Senyap seketika dan kemudian terdengar tapak kaki seseorang berjalan.

Dr HUSNA
Assalamua’laikum anakku Zainab. Kini ibu datang kepadamu. Ingat pesan ibu. Jadilah anak yang berilmu. Tanamkan keimanan kepada Allah. Ikutlah perjuangan rasulullah. Jadilah puteri ibu yang membanggakan ibu dunia dan akhirat.

ZAINAB
Ibu…Zainab rindukan ibu. Ke manakah ibu selama ini? Jangan tinggalkan Zainab lagi ya ibu.

Dr HUSNA
Ibu ada di sini sayang, di hatimu. Tapi sekarang ibu kena pergi. Semoga kita berjumpa lagi.

ZAINAB
Ibu….jangan pergi ibu. Ibu…. (Rupa-rupanya dia bermimpi berjumpa ibunya)

MASTURA
Kenapa sayang…? Kamu bermimpi ya…?

Dalam sayup-sayup terdengar suara Dr Husna… Jadilah anak yang berilmu. Tanamkan keimanan kepada Allah. Ikutlah perjuangan rasulullah. Jadilah puteri ibu yang membanggakan ibu dunia dan akhirat.

TAMAT

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.