Harta itu dilaburkan; bukan dileburkan

Nota: Artikel ini disiarkan oleh majalah MIDI Julai 2010 (1#)

forum6Eh, apa kaitan harta dengan kehidupan akhirat? Ya, semestinya ada perkaitan. Bukan longgar; bahkan amat erat. Hidup dan mati ada soal jawabnya. Memiliki harta juga, mempunyai sebab untuk disoal di akhirat. Allah sudah nyatakan: “Tuhan yang menjadikan hidup dan mati untuk menguji kamu, siapakah daripada kalangan kamu yang lebih baik amalannya.” (al-Mulk: 2)

Harta ini nikmat bagi mereka yang tahu memanfaatkannya. Tetapi harta juga membawa mudarat jika ia tersalah bawaannya. Harta tidak bersalah, yang bersalah itu, ialah mereka yang menyalahgunakannya. Harta hanyalah alat. Ibarat kereta, ia boleh dibawa ke masjid mendengar kuliah agama; dan ia juga boleh dibawa ke kelab malam membuat noda. Terserah kepada tuan yang empunya harta, bagaimana memanfaat atau mencari mudarat dengannnya.

Foto: Institusi zakat adalah ejen pelaburan terbaik untuk pemilik harta

Sebab itu, Allah SWT berpesan lagi: “Maka orang yang melakukan amalan kebaikan sebesar zarah akan dapat melihat ganjarannya dan orang yang melakukan amalan kejahatan sebesar zarah (pun) akan dapat melihat balasannya pada hari akhirat kelak,” (al-Zalzalah: 7)

Harta yang kita miliki – tidak kira besar atau kecil jumlahnya – adalah modal buat kita mendapat laba berganda di akhirat. Itulah pelaburan namanya. Dunia inilah tempat buat kita melaburkannya ke tempat yang betul; bukan meleburkannya ke lurah yang salah. Ibarat pelaburan saham dunia yang lain, maka begitulah saham akhirat. Jalan-jalan pelaburan itu banyak untuk dicari dan dipilih, salah melabur akan lebur jadinya. Tepat melabur, suburlah kita.

Abu Hurairah r.a ada mengingatkan kita, bahawa nabi pernah berkata: “Allah SWT berfirman: Wahai anak cucu Adam, berinfaklah kamu, maka Aku akan memberi ganti kepadamu. Rasulullah SAW bersabda: Anugerah Allah itu penuh dan deras. Ibnu Numair berkata: (Maksud daripada) mal’aan adalah pemberian yang banyak dan mendatangkan keberkatan, tidak mungkin terkurangi oleh apa pun di waktu malam dan siang,” (Riwayat Muslim)

Ya, infak adalah suatu pelaburan jangka panjang yang sangat menguntungkan. Ia merupakan pelaburan dunia dan akhirat; bukan pelaburan dunia semata-mata. Antara ejensi yang membuka kaunter saham infak ini ialah, pusat-pusat zakat, badan-badan dakwah, rumah-rumah kebajikan dan paling banyak ialah madrasah, masjid dan surau. Pada setiap minggu khususnya, maka orang-orang Islam dianjurkan memberi infak, iaitu pada hari Jumaat. Itulah medan menguji tahap keimanan umat Islam, jika sekadar memberikan seringgit dua pun sudah berkira-kira; maka dapatlah dinilai sejauh mana kesungguhan mereka memberikan infak harta yang lain pula.

Namun, infak yang terbaik adalah infak yang diberikan dengan hati yang ikhlas. Tidak dihebah-hebahkan kepada orang lain, melainkan atas niat dan maksud mahu mengajak orang lain untuk turut sama berinfak. Keikhlasan ini juga adalah anak kunci kepada pelaburan kita itu. Adakah ia diterima sebagai pelaburan yang sah di sisi Allah SWT atau sekadar peleburan demi mencari gah di mata manusia. Bukan senang menjaga hati, kerana keikhlasan sering digiring rasa takbur, bangga atau paling kurang merasa diri paling baik di sisi manusia lain, itulah ujub namanya.

Hati yang goyang boleh dipalingkan dengan mudah oleh syaitan dan iblis. Bukankah Iblis sudah berjanji kepada Allah SWT: “Kerana Engkau (Allah) telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalangi mereka daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’” (Al-‘Araf: 16-17)

Maka, berara ramai pula manusia yang berasa sudah ikhlas; akhirnya kecundang dalam keikhlasan yang mereka ciptakan itu. Susah mengawal hati andai dipuji di depan orang-ramai; apatah lagi jika nama disiar merata-rata. Hanya mereka yang ampuh imannya mampu mengawal dirinya daripada terjebak dengan jerangkap samar iblis ini.

Allah SWT menegaskan: “Dan aku (iblis) pasti akan memperdaya mereka semua kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.” (Al-Hijr: 40)

Kesimpulannya, carilah peluang pelaburan di atas dunia ini dengan sebaik-baiknya. Namun, apabila melabur, biarlah pelaburan itu berpanjangan sehingga ke akhirat sana. Aturkan harta, kerana kita ini penjaganya. Orang yang cerdik, pasti mahu harta itu pula ‘menjaganya’ di akhirat sana. Pesan cerdik pandai kepada kita: “Orang yang berhemat mengatur hartanya; orang yang bakhil diatur oleh hartanya.” Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.