Merencana Diri Di Usia 40

DEMI masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-`Asr: 1-3)

Angka memang memainkan peranan penting dalam kehidupan. Angka membolehkan kita mencatat dengan tepat, mengukur, bahkan menilai kejayaan diri atau anak-anak (misalnya mendapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolah, bukankah cemerlang namanya!), meletakkan sasaran bagi sesuatu kerja dan sebagainya (ya, saya sendiri berazam untuk menunaikan haji ketika usia 38 tahun!). Pendek kata, angka atau nombor membantu kita dalam membuat perancangan dalam kehidupan.

Di antara banyak angka, ada dua angka yang menarik iaitu 4 dan 0. Kenapa? Ya, angka 4 jika dicantum 0 menjadi ‘40’. Selalunya angka 40 ini disinonimkan pula dengan sesuatu, iaitu ‘kehidupan baru bermula ketika usia kita 40.’ Istilah ini ditranlatasikan dari bahasa Inggeris iaitu ‘life is begin at 40.’ Biasanya, daripada aspek harta pun manusia sudah mula stabil pada usia ini, seiring dengan kematangan usia kita sendiri.

Cuba kita terobos nilai dan konotasi angka 40 ini dari perspektif Islam. Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW, baginda antara lain menyatakan: Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah.” (Riwayat Tabrani, menurut ahli hadis ini daif, namun masih boleh diterima kerana maksudnya mendorong kebaikan). Maka, berhati-hatilah pada usia 40, kerana ia adalah penentu sudahnya sebuah kehidupan.

Secara literal, maksud hadis di atas memberi ingat kepada kita agar menjadikan angka 40 sebagai titik perubahan (turning point) dalam kehidupan. Pendeknya, menjelang usia 40 maka setiap manusia wajar memuhasabah diri, lalu menjalankan koreksi (membaiki diri). Adakah selama ini kita lebih cenderung kepada kebaikan atau sebaliknya.Adakah selama 39 tahun lalu diari kehidupan kita dipenuhi catatan positif lebih banyak dari lakaran negatif. Secara spesifiknya, solat lima waktu kita sudahkah genap atau masih banyak lompangnya, cara kita berpakaian benar-benarkah mematuhi piawaian syariat, sedekah dan zakat sudahkah menjadi agenda kita, tuntutan fardu kifayah seperti solat berjamaah, memenuhi majlis ilmu di rumah Allah dan sebagainya lagi sudahkah tertunai semuanya?

Ini kerana, jika selama usia 39 tahun kita masih gagal memenuhinya dengan amalan yang baik, maka dikhuatiri diri terus merasa selesa dengan perkara negatif. Jika selama ini kita suka mengujungi kelab-kelab malam misalnya, andaikan pada usia mencecah 40 masih belum berubah, maka mungkin sampai keusia tualah kaki masih mahu ke sana. Alangkah malangnya, kerana masa terbuang begitu sahaja. Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk keluarga, membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran dan sebagainya pupus ditelan muzik yang bingit.

Sebab itulah, Islam amat menekankan agar umatnya sentiasa memuhasabah diri. Mari kita kaji lagi, rupa-rupanya di dalam sejarah juga mencatatkan, bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri menerima wahyu yang pertama pada usia baginda 40 tahun. Sejarawan menyatakan, dengan turunnya wahyu maka itulah batas antara zaman jahiliyah dan zaman Islam. Turunnya wahyu menandakan bermulanya zaman Islam. Sejak itulah, Islam terus berkembang dan menggantikan era jahiliyah yang mendominasi umat Arab sebelum itu.

Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa, iaitu kesihatan dan waktu (atau usia) yang Allah berikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebab itulah, bagi mereka yang selama ini terus berulit dengan jahiliyah (sukakan perkara yang negatif) perlu menjadikan usia 40 sebagai garis pemisah. Paksalah diri untuk kembali ke pangkal jalan. Tinggalkan segala kejahatan dan kejarlah kebaikan. Jadikanlah 40 itu sempadan diri, antara kejahatan dan kebaikan. Antara kemalasan dengan kerajinan. Antara kepongahan dan ketenangan. Antara kekacauan dengan kebahagiaan.

Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan pesan, kata baginda: “Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa, iaitu kesihatan dan waktu (atau usia) yang Allah berikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memang benar, selalunya sebelum mencecah usia 40 kebanyakan manusia masih merasa begitu kuat dan hebat. Wanita, potongan badan masih anggun, pinggang masih ramping. Jika lelaki misainya masih melintang, jalannya pula tegak dada membidang. Jarang benar kita mengunjungi klinik atau hospital, kerana jantung masih kuat dan darah tinggi masih terkawal. Makan apa pun semuanya sedap, semuanya lazat.

Tiba-tiba, merangkak sahaja usia 40 maka segala macam penyakit pun datang menerpa. Kencing manis tumpang bertandang, sakit pinggang tumpang berteduh. Migrain menjadi teman bersembang, darah tinggi tumpang sekaki. Jantung sudah pandai merengek, kaki pula asyik berdengket (gout). Maka, mulalah episod sakit-sakit dalam diari kita. Ditempias hujan sudah tidak tahan, asyik demam siang dan malam. Kepala sudah selalu pening, maka mulalah dunia terasa berpusing. Makan apa pun mulai hambar rasanya.

Sebab itulah, usia sebelum 40 amat bermakna untuk kita bazirkan. Sebaliknya, ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Pada ketika itulah, peluang untuk kita membina diri dan keluarga terbuka luas. Maka, rancanglah masa hadapan dengan jelas. Sasarkanlah angka 40 sebagai titik keseimbangan diri. Maka, pasti kita tersengih sepanjang hari apabila usia kita melewati angka 40 kelak, kerana ketika itu kita sudah mampu menuai segala hasil yang kita canai. Anak-anak sudah ke universiti, punya rumah dua biji, kita dan isteri sudah pun naik haji, simpanan dalam bank sudah mencecah ribuan digit dan sebagainya lagi. Itulah perkara yang kita patut sangat semat dalam diri.

Sebelum noktah mengambil tempat, umat Islam wajib sentiasa menilai diri. Adakah selama ini kita sudah berada di zon yang diredai Allah atau sebaliknya. Jika kita sudah berada di zon ‘hijau’, maka bersyukurlah. Teruslah konsisten dengan amalan yang baik, mudah-mudahan usia 40 akan terus menakah ke angka-angka seterusnya dengan penuh catatan kebaikan. Bak kata Umar Al-Khattab: semaklah diri setiap malam sebelum kita disemak Tuhan di hari pengadilan. Wallahua’lam.

Nota: Artikel ini disediakan untuk ruangan Mengurus Harta, majalah MIDI

One thought on “Merencana Diri Di Usia 40

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>