Perubahan yang menjanjikan harapan

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Itulah pepatah orang tua-tua. Ia menunjukkan, tiada sesuatu yang patut kekal dalam status quo. Perubahan adalah perlu demi sebuah kelangsungan dalam kehidupan. Asal sahaja setiap sesuatu perubahan itu dasarnya adalah kebaikan dan pengakhirannya juga membawa kebaikan, maka ia wajar sekali diteruskan.
 
Nabi Muhammad SAW adalah contoh manusia yang mendepani perubahan. Baginda melalui pelbagai fasa dan tahap dalam kehidupannya. Daripada seorang anak yatim yang kematian bapanya Abdullah semasa dalam kandungan, dibesarkan di kawasan pedalaman oleh ibu susunya Halimah as-Sa’adiah, kembali kepada ibunya Aminah binti Abdul Wahab buat seketika sebelum akhirnya menjadi anak yatim piatu. Muhammad kemudiannya dibesarkan oleh datuknya Abdul Mutallib beberapa waktu sebelum diambil alih oleh Abu Talib.
 
Muhammad mulai berdikari sejak muda, mengikuti bapa saudaranya merentasi padang pasir berdagang ke Syam dan kemudiannya mengambil upah mengembala kambing penduduk Mekah. Kemudian Muhammad menjadi pekerja Siti Khadijah, membawa barangan dagangannya dan memperolehi laba yang besar. Muhammad kemudiannya meminang Khadijah bekas majikannya, langsung mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia dikurniakan anak-anak.


“Muhammad melalui fasa-fasa kehidupan yang lebih mencabar.”

Pada usia 40 tahun, Muhammad menerima wahyu yang pertama. Sejak itu, Muhammad melalui fasa-fasa kehidupan yang lebih mencabar. Dirinya yang terkenal al-amin sebelum itu dikeji oleh penduduk Mekah, baginda dianggap pendusta, tukang sihir, si gila dan sebagainya lagi. Semuanya adalah fasa-fasa perubahan yang akhirnya membentuk diri Muhammad menjadi manusia yang tahan diuji demi sebuah perjuangan Islam yang amat berbaloi untuk digagahi.
 
Semua ini sepatutnya menjentik pemikiran dan mengetuk pintu hati, bahawa Islam mengajar kita agar sentiasa bersedia dan berusaha menerima dan menyonsong perubahan. Allah SWT menukilkan di dalam al-Quran: “Yang demikian itu adalah karena sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” (al-Anfal: 53)
 
Dalam dunia hari ini, kita dikelilingi oleh inovasi. Manusia yang mampu mencipta inovasi maka mereka hakikatnya sudah berjasa kepada orang dan di sisi Allah SWT, mereka adalah terpuji. Apatah lagi jika inovasi itu mampu memudahkan urusan di dalam kehidupan, misalnya mengubah sesuatu yang lambat menjadi cepat, mengubah sesuatu yang sebelumnya susah menjadi mudah, menukar sesuatu yang sebelumnya mustahil menjadi realiti. Lebih bermakna jika inovasi itu adalah pelengkap kepada kehidupan manusia. Kita tidak mampu membayangkan, betapa besarnya sumbangan Alexander Graham Bell dalam penciptaan telefonnya pada tahun 1876 dan betapa besar jasa manusia yang mula-mula sekali menginovasikan telefon sehingga menjadi sebesar tiga jari pada hari ini. Begitu juga, betapa besarnya pahala Uthman bin ‘Affan r.a atas ijtihadnya membolehkan zakat ditunai dengan matawang, kerana ia memberikan impak yang begitu besar kepada dunia kewangan umat Islam hari ini khususnya dalam urusan zakat.
 

“Betapa besarnya sumbangan Alexander Graham Bell dalam penciptaan telefonnya pada tahun 1876 dan betapa besar jasa manusia yang mula-mula sekali menginovasikan telefon sehingga menjadi sebesar tiga jari pada hari ini.”

Atas semua kebaikan ini, Rasulullah SAW telah menegaskan di dalam sabdaan baginda: “Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah hasanah dalam Islam, maka dia akan mendapat ganjarannya serta ganjaran orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikit pun,” (Sebahagian hadis riwayat Muslim)
 
Hadis di atas menjelaskan, bahawa sesuatu usaha kebaikan yang dicipta, maka jika diikuti oleh orang lain, natijahnya akan kembali kepada si pemula. Orang yang mula-mula melakukannya akan beroleh pahala yang berterusan selagi mana sesuatu kebaikan itu terus diikuti dan dimanfaatkan. Hakikatnya perubahan yang dilagang itu adalah suatu sunnah, maka bayangkanlah pahala orang yang mencipta perubahan berkenaan. Pasti akaun amalannya sentiasa bertambah setiap masa, selagi mana sunnah yang diwariskannya itu diamalkan dan dimanfaatkan oleh sekalian manusia.
 
Sebenarnya, hadis ini adalah sinonim dengan apa yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu:  sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (Hadis riwayat Bukhari)

“Kita mesti berusaha menjadi manusia yang sentiasa mendepani perubahan.”

Akhirul kalam, kita mesti berusaha menjadi manusia yang sentiasa mendepani perubahan. Setidak-tidaknya dalam skala yang terkecil, iaitu kepada diri dan keluarga kita sendiri. Namun, seandainya kita diberikan peluang oleh Allah SWT memegang suatu daerah kekuasaan yang lebih luas, misalnya memegang jabatan, sebuah syarikat, daerah, negeri dan negara, maka bertambah besarlah peluang bagi kita untuk membuat sesuatu perubahan yang menjanjikan kebaikan tersebut.
 
Namun, awaslah dengan pesanan Nabi Muhammad SAW, hendaklah kita mencetuskan perubahan yang baik dan jangan sekali-kali mencetuskan sesuatu negatif, kerana kata nabi: “..dan sesiapa yang melakukan suatu Sunnah sayyiah (buruk atau jahat) dalam Islam, maka dia akan menanggung dosanya serta dosa orang yang melakukannya tanpa kurang sedikit pun,” (Bahgaian akhir hadis riwayat Muslim). Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.