Ketika Cinta Bertasbih – Membangun Jiwa

Filem sebenarnya memberikan kesan kepada kita. Filem yang berkualiti, bukan sekadar dinilai kepada aspek luarannya, seperti siapakah yang memainkan watak-watak utamanya, siapakah pengarahnya dan di manakah lokasi pengambarannya. Ia juga tidak bergantung kepada kepandaian sang kameraman mengambil gambar dari sudut dan celah termahal atau dinilai kepada kehandalan sang sutradara mengarahkan dan mengaksikan watak. Itu penting, tapi bagi saya ada yang lebih utama.

Sebenarnya, filem atau telefilem yang baik itu didasarkan terlebih dahulu kepada niat pembikinnya, baharulah diikuti dengan aspek tema atau cerita, penggubahan skrip dan pemilihan watak-watak yang sesuai lagi serasi dengan apa yang mahu disampaikan dan diikuti dengan ketangguhan sang sutradara yang akan merealisasikan semuanya menjadi sebuah cerita.

Inilah yang saya rasai lewat berulang-ulang kali menonton filem Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2.  Saya menonton filem berkenaan, bukan kerana ia arahan Pak Chaerul Umam, seorang sutradara hebat Indonesia, sumpah…saya tak kenal pun siapa dia. Saya juga tidak menonton filem-filem itu kerana ia dikatakan filem pertama beroleh izin pihak berkuasa Universiti al-Azhar untuk membuat rakaman di dalam kawasan kampus universiti Islam tertua dan tersohor itu. Saya juga tidak menontonnya hanya kerana ia dibarisi oleh aktor kacak seperti Azzam (oleh Kholidi Asadil Alam) atau Anna Althafunnisa (mainan Oki Santiana Dewi). Tidak, mereka siapa dan saya tak pernah kenal mereka.

“Kang Abik bagi saya, adalah faktor utama menarik saya untuk mencicipi filem-filem ini.”

Sebenarnya, detik awal keterujaan mahu menonton filem-filem ini tumbuh saat saya sudah tercium inisiatif Kang Abik a.k.a Habiburrahman el-Shirazy mahu melayar-perakkan dwilogi novelnya – Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2. Saya jadi tak sabar menantinya, kerana apa yang saya baca dalam versi novel adalah sangat mengujakan. Saya tidak sabar untuk melihat, bagaimana watak-watak Khairul Azzam dan Anna akan dijelmakan. Saya jadi tidak sabar untuk melihat bagaimanakah watak Azzam berinteraksi dengan alam sekelilingnya, justeru Azzam digambarkan oleh Kang Abik sebagai seorang pria yang bergelandang di bumi Mesir dengan dua tekad – menamatkan S1nya (ijazah pertama) dan sekaligus memenuhi tanggung jawab seorang abang menyara adik-adiknya di Indonesia.

Kang Abik bagi saya, adalah faktor utama menarik saya untuk mencicipi filem-filem ini. Lewat Ayat-ayat Cinta (AAC) dahulu, saya tahu Kang Abik tidak berpuas hati dengan hasil pembikinan filem berkenaan yang menurutnya – sedikit kesasar daripada landasannya. Maka, saya tahu dan yakin, filem-filem pasca AAC pasti akan ditangani dengan lebih baik dan teliti, khususnya dalam memastikan kesucian filem berkenaan yang memang bermatlamat memurnikan jiwa penontonnya. Bagaimana bisa murni jiwa sang audiens jika jalan ceritanya dibumbui dengan kekotoran – waima atas niat mahu mendidik!

Di samping factor Kang Abik, saya jadi tambah teruja menantikan kelahiran filem-filem berkenaan, kerana ia dikatakan filem pembangun jiwa. Apa maknanya filem pembangun jiwa jika selepas menontonnya kita jadi lara (lagha) dan lebih lalai kepada Tuhannya? Jadi, saya berkeyakinan ampuh bahawa filem ini pasti kelak mampu membekaskan sebuah keinsafan atau paling minima seberkas kepuasan dalam relung-relung jiwa. Jika tidak, bagi saya filem itu gagal.

 “Dengan harapan menggebu di minda, saya menguliti filem KCB…”

Dengan harapan menggebu di minda, saya menguliti filem KCB 1 dan saya akui, kesannya amat mendalam sekali. Saya bahkan anak-anak jadi kagum amat dengan kekuatan yang ada pada batang tubuh Azzam, yakni kekuatan dan keazaman dirinya. Kekuatan itu mengalir dan meresap lalu tumbuh dalam diri kita tanpa sedar. Saya boleh sahaja memberikan contoh, misalnya saat Azzam memberikan nasihat kepada teman serumahnya, Fadhil mengenai erti pernikahan. Kata Azzam (kira-kiranya begini…):

“Pernikahan itu ibadah Fadhil. Tidak ada yang patut sakit hati dengannya…

“Jika kamu tega…tega menentang badai dunia dan akhirat…maka ikuti sahaja cakapnya Tiara. Apa kamu kira kamu fikir Tiara mampu membayar sakitnya hati orang…

“Yakinlah Fadhil, jika hari ini Tiara bernikah dengan Zulkili, maka esoknya dia akan melupakan kamu. Begitu juga, andai hari ini kamu bernikah dengan orang lain, maka kamu juga akan melupakannya…

“Ingatlah pesanan Ibn Ato’illah dalam kitabnya…tidak ada yang mampu mengusik syahwat yang membutakan mata hati; melainkan rasa takut kepada Allah SWT…”

Azzam sebenarnya adalah lambang kesungguhan manusia-manusia Indonesia menafkahi kehidupan. Ia adalah lambang survival bangsa Indonesia yang bertebaran di serata dunia. Azzam juga mewakili tipa manusia kelas bawahan yang punyai semangat tegar. Bapanya bukan seorang kiyai, orang ternama atau punya pangkat kebesaran. Dengan itu, saya yakin bahawa kisah ini menjadi rapat dengan kita khususnya orang-orang kebanyakan Indonesia justeru ia adalah cerita mereka. Cerita bagaimana orang-orang biasa harus bisa bijak menghadapi tantangan kehidupan dan merubahnya menjadi peluang. Lalu Azzam membuktikannya dengan berjualan bakso dan tempe di Cairo demi sebuah kelangsungan itu.

“Azzam sebenarnya adalah lambang kesungguhan manusia-manusia Indonesia menafkahi kehidupan.”

Ah…saya pasti akan menyambung bicara ini lain kali…lagu Ketika Cinta Bertasbih masih bergetaran di kuping telinga dan saya jadi teringat saat anak keempat saya, Husna menyanyi-nyanyi kecil bait-bait ‘Ketika Cinta Tasbih…’ di tepi saya, saat saya memandu dalam perjalanan pulang ke rumah.

2 Replies to “Ketika Cinta Bertasbih – Membangun Jiwa”

Umi Marul 11 March 2010 at 1:17 pm

lirik husna

‘ mmmm… cinta.. tasbih…’
‘cinta…tasbih…’
‘cinta…tasbih’
‘mmmmm..cinta.. tasbih’

Ust Mizul 11 March 2010 at 2:31 pm

Sesuai le, anak usia 2 tahun nyanyi…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.