Cerpen: Alicia

Nota: Cerpen ini telah disiarkan oleh Majalah Anis, Disember 2009 pada halaman 124.

“ADALAH DITEGAH MENGAMBIL CERPEN INI DENGAN APA SAHAJA CARA MELAINKAN DENGAN IZIN BERTULIS DARIPADA SAYA – Hamizul.”

Fajar awal Disember di Kemboja. Jam menyangga di angka tujuh. Amir menyusuri aspal merah. Di sisinya Tasik Tonle Sap berombak tenang. Kicau beburung pagi bagaikan mengucap salam kepadanya. Tidak berapa jauh dia melihat, ramai manusia berbaris dalam kumpulan yang besar. Mereka melakukan senaman pagi yang unik. Akhirnya baharulah dia tahu, senaman itulah dipanggil poco-poco.

Amir ralit memerhati. Hayunan tangan dan hentakan kaki serta gelekan punggung. Seirama dan senada mengikut bunyi muzik. Habis melakukan senaman itu, Amir melihat mereka membeli burung-burung yang tersimpan di dalam sangkar. Mereka berdoa. Kemudian bagaikan satu upacara penuh simbolik, burung-burung itu dilepaskan ke angkasa raya.

Sementara itu, beberapa sami budha dan sebilangan penduduk yang lain meneruskan rutin agama. Dua buah kuil berdiri megah di sana. Tebing Tonle Sap menjadi saksi penyembahan mereka. Amir teringat kata-kata Nabi Ibrahim a.s kepada bapanya Azar di dalam surah al-An’am, ayat 74: “Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai Tuhan-Tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.”

(Foto dipetik daripada http://myownbluesky.files.wordpress.com)

“Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai Tuhan-Tuhan?

Namun, di Tonle Sap ini juga menjadi saksi betapa kemiskinan bermaharajalela di bumi bekas regim tirani Khmer Rouge pimpinan Polpot ini. Ribuan manusia menjadikan bot sebagai rumah dan hidup dalam serba kedaifan dengan bergantung nasib kepada tasik terbesar di Kemboja itu.

“Good morning, I’m Alicia from Canada.”

Tiba-tiba sahaja satu suara halus dan gemersik memecah lamunan. Amir berpaling ke kanan dan di sisinya berdiri seorang gadis kulit putih kemerahan. Dia tersenyum simpul dan tangannya dihulur tanda perkenalan.

“Oh, good morning. I am sorry…I am Moslem.”

Amir cuba menerangkan keadaan. Dia tahu, budaya mat saleh memang suka bersalam. Rasanya mahu sahaja disambut tangan putih nan gebu itu, tapi dia harus menjaga laku. Amir menunduk sedikit sambil tangan kanannya di lekatkan ke dada – tanda hormat.

“Maaf mengganggu anda. Sedari tadi saya melihat anda kusyuk memerhati segala.”

Alicia menerang tanpa dipinta. Pekat dengan telor Inggeris-Kanada. Amir sempat teringat novel remaja ‘Sesejuk Musim Bunga di Columbia’ yang pernah dibacanya. Kemudian Alicia menambah.

“Amalan yang anda saksikan pada pagi ini adalah rutin di sini. It’s not a morning prayer. Mereka akan bersenam atau menari bersama-sama sebelum masing-masing memulakan tugasan harian. Ya, lihat di sana ada burung-burung dalam sangkar. Usai mereka berdoa, burung-burung itu mereka beli dan bebaskan. Ia adalah simbol kepada kebebasan. Mereka jadikannya sebagai upacara pembersihan diri daripada dosa dan penyucian jiwa.”

“Ya, menarik sekali. Bagaimana anda tahu?” Tukas Amir.

Saya sudah lapan bulan di sini, calon doktor falsafah dari Ottawa University

“Oh! Maafkan saya terlupa memperkenal diri lebih lanjut. Saya sudah lapan bulan di sini, calon doktor falsafah dari Ottawa University dan dalam rangka menyudahkan tesis saya dalam bidang sosiologi. Anda tahu bukan, negara-negara Timur Jauh seperti Kemboja ini unik dan menarik untuk dikaji.”

Perkenalan ringkas itu membolehkan Amir mendalami banyak benda dalam waktu yang singkat. Sebelum pamit, mereka sempat bertukaran e-mail dan nombor telefon tangan. Tanpa menyangka, tugasannya mewakili Lembaga Zakat Selangor di bumi Kemboja ini memutikkan perhubungan dua benua – Asia Tenggara dan Amerika Utara!

“Hai Mir, apa hal termenung?!” Sergahan Nurul, rakan setugas menyentak segala. Tersipu-sipu Amir menahan malu. Sebenarnya, dia masih terkenangkan pertemuan hangat dengan Alicia. Malah dia baharu sahaja menerima pesanan ringkas pagi tadi. Alicia mengajaknya berjumpa, di tebing tasik Tonle Sap jam sembilan pagi.

“Nurul, awak boleh beri pendapat tak?”

“Apa halnya awak ni? Angin tiada ribut tiada, tiba-tiba nak minta pendapat. Ya, jika saya rasa mampu…insya-Allah.”

Amir menerangkan serba ringkas perkenalan singkatnya dengan Alicia. Kini gadis Kanada bermata biru itu ingin berjumpa lagi. Alasannya, Alicia mahu menanyakan beberapa perkara mengenai Islam. Dia gusar, bimbang kesasar. Maklumlah, dia di bumi Kemboja jauh dari Malaysia.

“Baiklah, jujurnya saya tidak melihat gadis mat saleh itu cuba membuat sesuatu yang diluar jangka. Sementelah dia adalah gadis berpendidikan tinggi. Pergilah. Manalah tahu dia masuk Islam…bolehlah saya makan nasi minyak!” Nurul mengusik nakal. Hatinya terdetik halus. Hakikatnya dia juga menaruh hati kepada pemuda hitam manis berasal dari Utara Malaysia ini. Namun, persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah menyukarkan segala. Dia selalu berdoa malah, agar Amir menyuarakan sekuntum harapan mekar kepadanya.

Hakikatnya dia juga menaruh hati kepada pemuda hitam manis berasal dari Utara Malaysia ini

“Amir, saya ada membaca di dalam internet tentang konsep derma di dalam Islam. Ia dipanggil zakat atau ‘alms giving’. Saya adalah penganut kristian, kami juga ada konsep yang hampir sama iaitu ‘tithe’. Apakah bezanya?”

Lalu pagi yang indah di tebing Tonle Sap menjadi saksi usaha dakwah Amir. Dia menerang dengan sabar. Konsep zakat dan falsafahnya. Sesekali bual mereka disapa semilir berbaur jeritan anak-anak kecil dari perkampungan atas air berdekatan.

“Zakat adalah wajib di sisi agama kami. Manakala, ‘tithe’ di dalam agama kamu lebih bersifat sukarela. Hikmah zakat diwajibkan menjadi sebab kepada perkongsian harta. Dalam al-Quran, bab at-Taubat atau repentace, ayat 103 ada dinyatakan seperti berikut: “Ambillah daripada harta mereka sebagai zakat yang bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka.”

“Kamu tahu Alicia, kalimah ‘ambillah’ itu memberikan konotasi penegasan atau arahan. Dari aspek bahasa Arab, ia adalah fi’il amr atau bahasa Inggerisnya ‘adverb’. Ia memberikan keizinan kepada pihak penguasa untuk mengambil harta daripada golongan kaya, seandainya mereka enggan.

Amir menambah terus. Raut keterujaan terserlah pada sekujur wajah Alicia.

“Semasa Nabi Muhammad mengutuskan Muaz bin Jabal, salah seorang sahabatnya menjadi wakil di Yaman, beliau ada berpesan:”Zakat itu, hendaklah diambil daripada golongan kaya dan diserahkan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka.

“Itulah falsafah zakat. Menjadi jambatan yang menghubungkan dua kelompok manusia – kaya dan miskin. Dengannya, ia dapat menjamin keseimbangan di dalam masyarakat. Islam memberikan penyelesaian pro-aktif agar dengan amalan zakat, perasaan hasad dengki di kalangan fakir miskin pudar; manakala bagi si kaya mengikis sifat sombong, penting diri dan tamakkan harta.”

Beberapa purnama berlalu. Misi kemanusiaan Lembaga Zakat Selangor ke Kemboja sudah tamat. Amir sudah kembali ke Malaysia. Dia puas bergelandang di bumi Kemboja menyantuni umat Islam yang miskin dan melarat di sana. Puas melihat sudah banyak perubahan yang dibuat. Sekolah sudah didirikan. Bahkan sudah ada anak-anak umat Islam Kemboja yang berketurunan Cham itu yang kini ditaja belajar ke beberapa universiti tersohor di Malaysia, hasil bantuan wang zakat daripada Lembaga Zakat Selangor juga.

puas bergelandang di bumi Kemboja menyantuni umat Islam yang miskin dan melarat di sana

Suatu petang redup di bilahan hari minggu, Amir menerima e-mail lagi. Daripada Alicia.

“Salam buat temanku Amir. Sejak kepulanganmu ke Malaysia, aku rindukan bicaramu lewat diskusi kita di tebing Tonle Sap. Engkau tahu, untaian kata-katamu telah mengetuk jendela hati ini. Relung-relung yang selama ini terkunci terkuak lebar. Aku renungi secara jujur dan akhirnya aku temui sebuah jawapan. Memang Islam menawarkan penyelesaian buat manusia yang miskin dan melarat. Itulah hikmah zakat yang kuat terpahat di mindaku hingga kini.

“Amir, sungguh pun kamu jauh tapi dekat terasa. Buku-buku hadiah daripadamu mengenai Islam, khususnya ‘The Choice’ karya Ahmad Deedat dan ‘To be a Muslim’ tulisan Fathy Yakan juga amat mengesan perasaan. Juga tidak lupa antologi surat-surat Maryam Jameela dan Abu Ala al-Mawdudi, ah…amat-amat menjernihkan pemikiran. Intuisiku terisi kini. Relung-relung gelap dalam minda terasa cerah. Oh…adakah ini namanya hidayah?

“Amir, jika diizinkan Tuhan aku mahu mengucapkan dua kalimah kesaksian. Tapi aku memerlukan kekuatan. Maka, sudikah kamu menjadi penyangganya. Teman setia buat meladeni kehidupan hari muka bersama. Aku berharap langit Kemboja yang cerah lewat perpisahan kita tiga bulan dahulu, akan kekal cerah selamanya. Aku menanti balasan segera daripadamu. Temanmu Alicia Fernando, .”

Amir meraup tangan ke wajah. Terhimbau tenangnya air di permukaan tasik Tonle Sap di bumi Kemboja. Setenang wajah Alicia yang dia angankan agar menjadi Aisya. Berkat zakat dan doanya terkabul kini.

“Alhamdulillah.”

Hamizul Abdul Hamid (c)

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.