‘Alangkah bangganya saya…’

muhamad-hj-salleh

‘Cikgu saya di UKM… “Hah…kamu lihat apa itu?” Tegur beliau satu hari di Kedai Buku UKM, sewaktu saya ralit memerhati seekor biawak di dalam longkang…’

Alangkah bangganya saya, apabila menatap wajah bekas guru saya di UKM dahulu, Prof Dr Muhammad Hj Salleh, bercakap mengenai isu bahasa. Bekas cikgu saya itu bukanlah lantang orangnya, dia hanya seorang pensyarah kesusasteraan Melayu di Jabatan Persuratan Melayu. Beliau banyak menulis puisi dan banyak juga menghasilkan esei kritikan sastera. Seingat saya, jika kita mahu membaca novel maka beliau bukanlah orangnya. Penghasil novel yang hebat ialah Pak Samad Said, Pak Shahnon, Keris Mas, Arena Wati dan S Othman Kelantan.

Namun, dek kerana kehebatan mata penanya, maka cikgu sastera saya ini dikurniakan gelaran maha agung dalam bidang penulisan di negara ini. Apa lagi jika bukan gelaran SASTERAWAN NEGARA. Gelaran yang paling berprestij bagi seorang penulis. Sesiapa sahaja, itulah gelaran yang paling diidam-idamkan, waktu lena waktu jaga.

Apabila Sasterawan Negara yang kini tinggal berlima sahaja, termasuklah Prof Muhammad Hj Salleh, berbicara isu bahasa, maka saya jadi begitu terpalu. Jiwa halus saya bagaikan meronta-ronta ingin tahu apakah kesudahan episod bahasa Melayu di negara ini. Jika dahulu, hanya dua tiga kerat sahaja aktivis bahasa dan sastera yang berani tampil ke muka, kini kesemuanya sekali. Ya, kesemuanya sekali memberikan satu pandangan, satu pendapat dan satu pedoman. Bahawa, kerajaan Malaysia wajar kembali undur ke belakang dalam isu bahasa ini, wajar kembali menobatkan bahasa sendiri, seperti mana bangsa-bangsa lain lakukan ke atas bahasa mereka sendiri!

Saya tidak fikir, para kuasawan (meminjam istilah A. Samad Said) begitu ‘angkuh’ untuk mempertahankan legasi ‘bebal’ ini (maaf…bagi saya mempertahankan warisan yang salah memang satu kesalahan, samalah seperti salahnya Arab Quraisy yang mempertahankan kejahilan dan menolak kebenaran pimpinan Nabi Muhammad SAW). Apa lagi yang hendak dikaji, dikaji dan dikaji. Bukankah pakar-pakar bahasa sudah pun memberikan segala upaya mereka, sama ada dapatan kajian, statistik itu dan ini juga segala hasil perbincangan. Semuanya, menunjukkan bahawa penerusan dasar bahasa asing dalam pengajaran tidak menguntungkan. Jika mahu memandaikan anak bangsa, maka gunalah bahasa bangsa kita. Bukannya dengan meminjam bahasa bangsa lain.

Saya menganggap, kedegilan pihak-pihak yang berkenaan membaca dan memahami aspirasi rakyat terbanyak akan membawa kemudaratan yang lebih besar. Kita boleh melihat contoh paling dekat, iaitu tulisan jawi. Apa sudahnya dengan tulisan jawi di negara kita? Hidupnya sudah tidak bererti lagi, sehinggakan kewujudannya pun hanyalah kerana atas ‘tajaan’ dan ‘ehsan’ pihak-pihak tertentu. Jika diharapkan kepada ‘tulisan’ itu sendiri, sudah lama ia mati tanpa nesan, tanpa sesiapa pun menangis dan meratapi.

Tulisan jawi jadi seperti hari ini kerana apa? Semuanya gara-gara mahu mengejar kemodenan, maka tulisan rumi yang lebih mirip dengan tulisan roman bagi bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Akibatnya, sehari demi sehari tulisan jawi hilang dari pandangan. Jika dahulu setiap papan tanda kedai, dewan, nama jalan dan papan iklan mesti menggunakan tulisan jawi, kini ia diganti dengan tulisan rumi, bahkan ditambah pula bahasa Inggeris pengganti jawi. Matilah peranan tulisan jawi.

Inilah kebimbangan kita, perkara yang sama akan menimpa bahasa Melayu satu masa nanti. Sudahlah kabinet menukarkan nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, kini penggunaannya pun mahu dikelas-kelaskan. Mereka yang belajar sastera dan sains sosial sahaja layak menggunakannya. Mereka yang belajar sains dan teknologi, bahasa Inggerislah wahana mereka. Tidakkah ini bermaksud ‘mengkelas-keduakan’ bahasa sendiri. Tidakkah ini namanya diskriminasi terhadap bangsa sendiri? Inilah yang ditentang oleh para Sasterawan Negara, termasuklah Dr Muhammad Hj Salleh cikgu saya.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.