Doktor di UK nak berzakat di Malaysia, bolehkah?

Saya bertugas sebagai doktor dan menetap di United Kingdom. Pendapatan bulanan saya adalah di dalam matawang pound sterling dan tertakluk kepada cukai pendapatan dan insuran kesihatan di United Kingdom. Persoalannya ialah bolehkah saya membayar zakat pendapatan saya di Malaysia? Ini adalah kerana saya hanya menggunakan pendapatan saya di UK untuk membayar cukai, sewa, bil utiliti, tambang kapal terbang dan keperluan asasi yang lain sahaja. Baki pendapatan bulanan pula akan dihantar pulang ke Malaysia untuk perbelanjaan keluarga. Jika dibenarkan, berapakah pula dengan jumlah perlepasan untuk diri saya. Ini kerana saya berbelanja di UK dan sudah tentulah MYR8000 setahun terlalu sedikit berbanding perbelanjaan sebenar saya di UK?
 
Jawapan:
 
Terima kasih kerana sudi bertanya. Untuk makluman, hukum asalnya zakat itu afdal dikeluarkan di mana tempat kita memperolehi rezeki. Zakat hanya boleh dibawa keluar negeri (dari tempat asal) jika ada keperluan tertentu, misalnya jika sudah tiada asnaf yang layak atau umat Islam di luar negeri itu lebih memerlukan.
 
Walau bagaimanapun, dalam kes saudara ini agak istimewa. Saya suka menyatakan bahawa ini adalah pandangan saya semata-mata. Seelok-eloknya saudara membayar zakat di UK, yakni menerusi badan-badan Islam yang diiktiraf yang akan menyalurkan wang zakat itu kepada asnaf yang memerlukan di sana.
 
Namun jika saudara melihat umat Islam di UK sudah tidak begitu memerlukan wang zakat atau saudara masih mahu memberikannya kepada tanah air, atas alasan bahawa sanak-saudara di kampung pun masih memerlukan, maka eloklah dibahagi dua zakat itu. Separuhnya saudara serahkan kepada badan zakat / NGO Islam di UK bagi menyantuni asnaf di sana dan separuh lagi bolehlah dibayar di LZS (MAIS) misalnya.
 
Ini kerana, dalam konteks memberikan bantuan zakat atau sedekah, maka kita juga harus mengutamakan kaum kerabat yang terdekat (asalkan mereka bukan tanggungan yang wajib di sisi agama seperti anak isteri dan ibu bapa, kerana tanggungan wajib tidak boleh menerima zakat), maka mereka juga berhak untuk diutamakan (misalnya adik-beradik) bagi menerima wang zakat daripada kita.
 
Firman Allah: “Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,” (an-Nisa’: 36)
 
Berkenaan taksiran zakat pendapatan yakni tolakan ke atas diri sendiri itu hanya RM8,000, maka itu hanyalah ijtihad dan valid di Malaysia. Maka saudara boleh menggunakan nilai yang munasabah dan sesuai dengan keperluan saudara di UK.
 
Hakikatnya tolakan zakat pendapatan itu adalah berdasarkan keperluan asasi iaitu makanan, tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan pakaian. Tetapi dalam tolakan itu tidaklah sampai menghilangkan hak zakat yakni dengan sengaja mencari jalan mengelakkan diri daripada berzakat pula, misalnya sengaja bermewah-mewah dengan menggunakan pengangkutan yang melepasi had keperluan asasi.
 
Ini kerana, zakat pendapatan ini dikiaskan kepada zakat pertanian dan para petani wajib berzakat semasa hari menuai tanpa ada tolakan apa-apa pun. Oleh itu, saya menyarankan agar saudara ambil sahaja nilai 8,000 Pound Sterling UK itu sebagai ganti RM8,000 dan kadar zakat sebanyak 2.5% itu pastinya tidak membebankan saudara. Wallahua’lam

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.