Apakah gugur kewajipan zakat harta apabila berlaku kematian ke atas pemiliknya?

Jawapan: Apabila cukup syarat wajib zakat, maka wajiblah zakat dikeluarkan. Dalam kes di atas, jika seeorang itu meninggal dunia dalam keadaan segala syarat-syarat wajib zakat sudah dipenuhi, maka hendaklah dikeluarkan zakatnya oleh warisnya.

Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, zakat itu tidak menjadi gugur hanya disebabkan oleh kematiannya. Kekayaan yang ditinggalkannya wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun si mati tidak meninggalkan wasiat agar warisnya mengeluarkan zakatnya.

Pendapat di atas disokong oleh para fukahak misalnya pada sisi mazhab Hanafi juga oleh ‘Atha’, al-hassan, al-Zuhri, Qatadah, Malik, Syafie, Ishaq, Abu Tsaur dan al-Mundzir.

Dalam hal ini juga, al-Awzai dan al-Laits menyatakan: “Zakat mesti diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan didahulukan daripada wasiat-wasiatnya.”

Walau bagaimanapun ada juga fukahak yang memberikan keringanan bahawa zakat tidak wajib dikeluarkan daripada harta orang-orang yang mati jika tiada diberikan wasiat mengenainya, dan pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Sirin, al-Sya’bi, an-Nakhaie, Hammad Ibn Sulaiman dan at-Tsauri.

Mazhab Hanafi pula mengatakan: “Zakat tidak boleh dikeluarkan daripada harta yang ditinggalkan oleh seseorang kecuali apabila dia memberikan wasiat untuk itu dan wasiat tersebut diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan kemudian dibahagikan oleh para penerima wasiat, maka gugurlah kewajipan untuk mengeluarkan zakat kerana sesungguhnya zakat adalah ibadat yang memerlukan niat sebagai salah satu syaratnya. (Jika orang yang meninggal tiada berwasiat maknanya tidak berniat, maka) ia menjadi gugur dengan kematian orang yang menanggungnya, seperti halnya puasa.”

Namun, kita wajar melihat kepada keutamaan zakat di sisi ummah. Menurut Dr Abdul Karim Zaidan lagi, pandangan ulamak yang menyatakan kewajipan zakat tidak gugur dengan kematian seseorang dan tidak pula harus dikeluarkan zakatnya hanya dengan adanya wasiat, adalah kerana zakat itu sendiri obligasi yang bersifat kemasyarakatan. Mereka yang mendapat manfaat daripada zakat itu misalnya terdiri daripada fakir dan miskin, maka zakat tidak boleh gugur begitu sahaja dengan sebab kematian pemiliknya.

Beliau menambah, ia samalah dengan keadaan seseorang yang berhutang kepada orang lain, maka kematiannya tidaklah pula menyebabkan hutangnya juga turut lupus. Para warisnya masih wajib melunasi hutang-hutang berkenaan dengan harta peninggalannya.

Selain daripada itu, ibadat zakat adalah ibadah harta yang boleh diwakil dan diwasiatkan. Ia berbeza dengan ibadat solat dan puasa, kerana ibadat berkenaan bukanlah bersifat harta dan hanya fizikal semata-mata dan tertakluk kepada individu berkenaan sahaja (Rujuk Dr Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jili 2, halaman 28). Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.