Ketika Cinta Bertasbih I

Jika anda ternanti-nantikan sebuah filem yang mampu membangunkan jiwa, maka inilah filemnya. Sebuah layar yang diadaptasi daripada novel karya Habiburrahman el-Shirazy, penulis yang sama menghasilkan genre ‘tulisan pembangun jiwa ‘Ayat-ayat Cinta’.

Filem ini tidak mampu memuaskan saya waima diulang tonton berkali-kali. Lagu-lagunya juga sesuai sekali. Ia teradun rapi dalam sebuah persembahan yang memberikan kita sentuhan iman dan takwa. Tidak ruginya rasa jika filem versi seperti ini dipertontonkan kepada khalayak di Malaysia. Tapi sayang, kenapa filem-filem seperti ini amat sukar menembusi pawagam kita; berbanding filem-filem Barat yang sering membantrakkan jiwa anak-anak muda? Apakah seluruh pawagam di negara ini tidak ada langsung yang dimiliki oleh orang-orang Islam yang subur takwanya? Aduhai…bagi saya ini suatu fardu kifayah. Menonton wayang tidak salah, apatah lagi ia memenuhi keperluan reakreasi minda manusia yang memerlukan hiburan. Saya berharap sangat, mereka yang kaya-raya andai terbaca singgungan ini, maka wujudkanlah satu pawagam yang halal di sisi syariat dan jika perlu, mendapatkan sijil HALAL daripada Jakim!

Ya, jika anda sudah menguliti dwilogi Ketika Cinta Bertasbih, maka kronologi dan perkembangan filem ini tidak ruwet untuk dihadami. Namun pasti sahaja versi novel dan filem adalah amat banyak bedanya. Jika membaca, kita hanya mampu menghayalkan watak-watak utamanya – ‘Azzam, Anna, Eliana dan Furqan. Namun, filem memberikan kita wajah sebenar mereka. Sosok tubuh, kecantikan dan segalanya, mampu dinikmati segala. Inilah istimewanya versi filem, ditokok dengan ketelitian pihak penerbit mencari watak pelakon yang memang ‘hidup’ lakonannya, maka watak-watak yang digambarkan di dalam novel sumpama menjelma ke alam nyata. Mereka berbicara dengan kita dan mereka menunjukkan siapa sebenar-benarnya mereka!

‘Azzam bagi saya adalah karakter seorang lelaki yang begitu waja semangatnya. Pada dirinya terpikul pelbagai amanah – sebagai mahasiswa Universiti al-Azhar yang tidak tamat kuliahnya selama sembilan tahun, sebagai abang yang bangun menatang tanggung jawab memenuhi keperluan keluarga lewat kematian ayahnya, sebagai anak yang merindui belaian seorang ibu tua, sebagai lelaki yang juga punyai cita-cita. Semuanya berbaur, menzahirkan watak ‘Azzam yang kukuh wibawanya. Memang saya kagum dengan pembinaan watak lelaki ini, kekadang terasa diri kita dihisabi sendiri, adakah kita setanding ‘Azzam?

Tidak mampu rasanya menghurai segalanya di sini. Jika anda masih ragu-ragu, carilah DVDnya. Jika anda sudah ‘kasmaran’ pada apa yang saya paparkan, maka saya ada kenalan di Indonesia yang mungkin bisa mengeposkannya ke sini. Jika mahu…hubungi saya…manalah tau ada rezeki anda!

Nota: Bukan tak nak kasi pinjam…nanti takut tercalar…tak puas lagi menontonnya. Tak pun…anda buka sahajalah Youtube dan carilah di sana…pasti ada, insya-Allah.

 

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.