Azan

Sahabat merangkap anak sedara sepupu sebelah zaujah saya, Naza memasukkan azan yang indah di Mekah. Saya memasangnya dan hati saya lirih mendengarnya. Sungguh…gema azan memang menggoncang kalbu bagi orang yang mahu mengambil faedah daripadanya.

Jika kita menelusuri saat Bilal bin Rabah r.a dikerah oleh Rasulullah SAW agar memanggil manusia untuk solat di Madinah, Bilal keliru. Bagaimanakah caranya? Akhirnya Bilal memanjat ke binaan yang tinggi, Bilal melaungkan kalimah kebesaran memuji-muji Allah, Bilal melaungkan kalimah kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Digambarkan, tangan Bilal melambai-lambai para muslimin saat lidah fasihnya mengalun kalimah mengajak manusia mendirikan solat dan juga menuju kejayaan.

Saya mencari-cari lagi, bagaimanakah azan ini begitu memberikan makna buat kita? Jika anda rajin, maka carilah di youtube dengan hanya mengetik kalimah ‘azaan’ atau ‘adhan’ dan nanti kita akan dapat mendengar puluhan irama azan dari seluruh pelusuk dunia…semuanya, memuji Allah yang Maha Esa!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.