Konsert Opick memang berbaloi…!

(Foto kat sebelah ini saya petik daripada http://ummuasiah2001.blogspot.com

22 Nov 2009, dalam kepenatan selepas pulang ber’camping’ di PD dengan anak-anak, saya harus bersiap untuk ke Bangsar pula. Konsert Amal Bersama Opick akan bermula. Empat keping tiket sudah dibeli. Tak sabar rasanya nak menyaksikan sendiri sosok sebenar manusia bernama Opick ini. Kira-kira jam 7.30 malam, seusai mendirikan solat Maghrib, saya, isteri dan dua anak gadis kecil kami pun bertolak ke TNB Bangsar.

Malam itu, kami dihiburkan dengan persembahan daripada Opick, In-team, Akhil Hayy, Abu Sangkan dan Casturi. Persembahan pembuka tirai ditandai dengan kemunculan Opick yang membawa lima buah lagu, di antaranya Istighfar, Semesta Bertasbih, Bila Waktu Telah Berakhir dan tidak lupa Tombo Ati (berduet dengan Akhil Hayy). Memang mengujakan sekali. Kekuatan vokal Opick memang berbaloi mengungsi ruang indera. Gegendang saya bergetar seiring debar di dada. Mainan alat muziknya yang berupa gabungan piano dan sebagainya juga mantap mengambil sisi. Nyata, Opick memanfaatkan suaranya demi ketangguhan irama bernuansakan Islam untuk tujuan dakwahnya.

Lebih daripada itu, saya patut mengalungkan tahniah kepada Opick justeru beliau juga pandai mengambil posisi meraikan kehadiran penonton. Ungkapannya penuh puji-pujian dan doa, katanya…wajah-wajah di hadapannya adalah calon-calon ahli syurga…saya mengaminkan ungkapan itu. Manalah tahu diberkati dan dikabuli Allah swt.

Namun, saya agak terganggu dengan beberapa keadaan. Misalnya suluhan lampu dari arah hadapan bahagian pentas amat mengganggu pemandangan. Begitu juga persiapan penganjur yang sepatutnya lebih baik lagi. Misalnya, tak payahlah konsert akan bermula, namun pengacara majlis masih mahu menguji pembesar suara. Apa-apa pun, sekalung tahniah juga kepada Muslim Care Society Malaysia kerana kesungguhan mereka menganjurkan konsert ini. Lagi pun, hasratnya murni untuk menampung biaya pembinaan Solat Centre di Jakarta sana.

Saya dan isteri serta anak-anak pulang awal, justeru takut terkandas kelak bila semua audiens keluar serentak. Sempat juga saya membeli dua keping CD Opick…

Nota: Kasihan abang ipar saya, Sdr Jiwa Rasa yang kala kami sedang asyik nonton konsert Opick, dia sedang keboringan dicempung pesawat dari Kuching ke Penang…walhal dahulu dialah yang memperkenalkan Opick kepada saya.

One Reply to “Konsert Opick memang berbaloi…!”

ihya’hakim 20 June 2010 at 4:20 pm

ala…..

ruginya tidur daripada balik camping..

Padahal,itu sempena hari jadi saya

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.